10 termasuk pegawai polis maut ditembak di pasar raya
BOULDER - Seorang lelaki bersenjata disyaki menembak mati 10 orang termasuk seorang pegawai polis di sebuah pasar raya di Boulder, Colorado, Amerika Syarikat (AS) pada Isnin.
Komander polis Boulder, Kerry Yamaguchi berkata, salah seorang yang terbunuh itu ialah seorang pegawai polis.
Beliau berkata, suspek yang melepaskan tembakan itu kemudian berjaya ditangkap dan kini berada dalam tahanan polis serta mengalami kecederaan dalam kejadian itu.
Menurutnya, siasatan sedang dilakukan dan beliau masih tidak mengetahui punca yang mendorong suspek melakukan kejadian itu.
Satu video yang disiarkan secara langsung menunjukkan seorang lelaki pertengahan umur dan tidak memakai baju, manakala badannya berlumuran darah ditahan polis dan dibawa keluar dari pasar raya tersebut, lapor AFP.
Berpuluh-puluh kenderaan berperisai, ambulans dan kakitangan bersenjata termasuk ejen-ejen Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan anggota-anggota Pasukan Bersenjata dan Taktik Khusus ditempatkan di lokasi kejadian.
Sejumlah pengguna membeli-belah dibawa keluar dari pasar raya tersebut dengan badan mereka diselubungi dengan selimut bercakap kepada para pekerja kecemasan di kawasan tempat letak kereta yang bersalji.
Pada minggu lalu, berlaku kejadian tembakan di tiga buah pusat rawatan kesihatan dan kecantikan di negeri di Atlanta, Georgia yang menyebabkan lapan orang terbunuh termasuk enam wanita berketurunan Asia.
Lelaki yang disyaki menembaknya, Robert Aaron Long, 21, kemudian berjaya ditangkap polis.
Bagaimanapun, polis masih melakukan siasatan berhubung motif kejadian itu. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!