PBAPP guna sistem tenaga solar jimat kos elektrik

PBAPP memasang sistem tenaga solar di Kompleks Kolam Air dan Rumah Pam Bukit Dumbar dalam usaha menjimatkan kos elektrik.
PBAPP memasang sistem tenaga solar di Kompleks Kolam Air dan Rumah Pam Bukit Dumbar dalam usaha menjimatkan kos elektrik.
A
A
A

GEORGETOWN - Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menggunakan sistem tenaga solar untuk menggantikan penggunaan elektrik di Kompleks Kolam Air dan Rumah Pam Bukit Dumbar dalam usaha menjimatkan kos.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Jaseni Maidinsa berkata, pihaknya berjaya mengurangkan bil elektrik dengan purata RM22,811 sebulan untuk tempoh enam bulan.

Menurutnya, susulan pengoperasian sistem berkenaan sejak 31 Julai tahun lalu, kos elektrik PBAPP turun sebanyak RM136,868 untuk tempoh Ogos 2020 hingga Januari tahun ini.

"Sistem tenaga solar 1.5 MWp (Megawatt puncak) ini dipasang oleh syarikat yang berpangkalan di Pulau Pinang, PSB Energy Sdn Bhd (PSB) tanpa sebarang kos. Susulan penggunaan sistem tenaga solar ini, penjimatan kos yang diunjurkan untuk setahun adalah RM273,732.

"PBAPP menandatangani perjanjian dengan PSB untuk membayar tarif solar sebanyak RM0.305/kWh bagi tempoh 25 tahun. PSB juga bertanggungjawab untuk menyelenggarakan sistem sepanjang tempoh perjanjian.

"Tarif solar ini lebih rendah daripada tarif komersial yang dikenakan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB)," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Jaseni berkata, sebanyak 4,586 panel solar fotovoltaik telah dipasang di atas kolam air Bukit Dumbar R2 dan R3 yang tertutup.

"Panel-panel ini mengubah tenaga solar menjadi elektrik yang disalurkan ke transformer peningkatan kuasa 415V/11kV. Selepas proses itu, elektrik diagihkan ke dalam sistem bekalan kuasa untuk digunakan oleh Rumah Pam Bukit Dumbar 1 dan Bukit Dumbar 2.

Artikel Berkaitan:

"Dengan cara ini, elektrik yang dijana dari sistem tenaga solar di Kompleks Kolam Air dan Rumah Pam Bukit Dumbar itu digunakan di dalam kawasan itu untuk operasi mengepam air terawat 24 jam seminggu," katanya.

Beliau berkata, sistem pemantauan dalam talian turut dipasang di lokasi untuk memantau prestasi sistem.

"Hasil dari sistem tenaga solar tidak mencukupi untuk menggerakkan semua operasi mengepam bekalan air 24 jam seminggu yang berintensifkan tenaga di kompleks tersebut.

"Oleh itu, PBAPP masih memperoleh purata 864,197 kWh setiap bulan secara langsung dari grid kuasa TNB untuk digunakan di Bukit Dumbar sepanjang tempoh Ogos 2020 hingga Januari tahun ini," katanya.

Tambahnya, susulan kejayaan usaha tenaga hijau perintis itu di Bukit Dumbar, PBAPP sedang merancang untuk memasang sistem tenaga suria yang sama di kemudahan lain di Pulau Pinang untuk menjana lebih banyak penjimatan kos.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!