Padah ceroboh perairan Malaysia
GEORGETOWN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan Indonesia bersama lima kru kira-kira jam 5 petang, Isnin.
Pengarah Maritimnya, Kepten Abdul Razak Mohamed berkata, bot tersebut ditahan oleh sepasukan penguat kuasa yang menaiki kapal KM Burau ketika menjalankan rondaan dalam Op Pertiwi/Op Benteng/ Op Tanjung pada kedudukan 32.3 batu nautika barat Pulau Kendi.
Menurutnya, ketika rondaan, bot tersebut didapati sedang melakukan aktiviti menangkap ikan dalam perairan negara.
"Pemeriksaan mendapati, bot tersebut dikendalikan lima kru warga Indonesia termasuk tekong berusia lingkungan 18 hingga 45 tahun. Kesemua mereka tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
"Kesemua nelayan asing itu ditahan kerana menceroboh perairan negara. Kes akan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
"Ia memperuntukkan hukuman denda sebanyak RM6 juta dan kru pula didenda RM500,000 setiap seorang dengan penjara enam bulan sehingga satu tahun jika sabit kesalahan," katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.
Jelasnya, semua nelayan bersama bot mereka dibawa ke Jeti Limbongan Batu Maung untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat APMM Pulau Pinang untuk tindakan lanjut.
Dalam perkembangan lain, Maritim Malaysia Pulau Pinang menerima perolehan Floating Jetty di Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban bagi memudahkan urusan tambatan aset-aset Maritim Malaysia dan bot-bot tahanan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!