Kastam serbu kilang arak tiruan
SEREMBAN - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan satu sindiket mengilang minuman keras tiruan di sebuah gudang di Jalan Kuala Sawah Kampung Ribu pada Selasa lepas melibatkan nilai sitaan keseluruhan RM3.12 juta.
Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Sri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, sindiket berkenaan yang dipercayai beroperasi sejak dua bulan lalu terbongkar hasil risikan dan makluman awam.
Beliau berkata, gudang itu dijadikan kilang memproses dan pembotolan minuman keras tiruan pelbagai jenama.
"Bagaimanapun, ketika serbuan pekerjanya melarikan diri selepas menyedari kehadiran penguat kuasa Kastam melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di premis itu," katanya pada sidang akbar di lokasi pada Selasa.
Menurutnya, kuantiti minuman keras yang dirampas dianggarkan sebanyak 59,104 liter dengan nilai rampasan sebanyak RM344,644.80 melibatkan jumlah cukai 1.952 juta.
Selain itu turut disita beberapa mesin memproses bahan mentah, set tangki pencapaian, mesin label cap dagang dan peralatan makmal serta bahan mentah bernilai RM1juta.
"Sindiket ini dipercayai membawa masuk peralatan dari luar negara bagi tujuan memproses minuman keras dan pembotolan secara haram.
"Modus operandi yang digunakan ialah dengan menjadikan gudang di kawasan pedalaman sebagai lokasi operasi bagi mengaburi mata pihak berkuasa," katanya.
Abdul Latif berkata, minuman keras tiruan berkenaan dipercayai untuk dijual di pasaran tempatan pada harga lebih murah berbanding harga pasaran sebenar dengan menyasarkan warga asing.
"Tiada individu yang ditahan dalam serbuan itu tetapi siasatan masih dijalankan bagi mengesan dalang sindiket itu.
"Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 74(1)(f) Akta Eksais 1976 iaitu dengan berpengetahuan mengambil bahagian dengan apa-apa cara dalam menyuling, menapai atau mengilang barang berduti," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!