Malaysia, Singapura mulakan proses saling iktiraf sijil vaksin

Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (kiri) bersama rakan sejawatannya Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan mengadakan sidang media bersama selepas mesyuarat dua hala pada Selasa. - Foto Bernama
Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (kiri) bersama rakan sejawatannya Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan mengadakan sidang media bersama selepas mesyuarat dua hala pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Malaysia dan Singapura mengulangi komitmen untuk saling mengiktiraf sijil vaksin Covid-19 bertujuan memudahkan perjalanan rentas sempadan pada masa depan.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan rakan sejawatannya dari Singapura, Dr Vivian Balakrishnan berkata demikian dalam satu kenyataan bersama pada Selasa.

Kedua-dua negara juga akan terus memperluaskan program vaksinasi kebangsaan masing-masing untuk memberi vaksin kepada pemastautin termasuk rakyat Malaysia yang tinggal di Singapura dan warga Singapura yang tinggal di Malaysia.

Kedua-dua menteri berkata, Malaysia dan Singapura akan mula memulihkan perjalanan rentas sempadan secara progresif untuk kumpulan pelancong lain sebagai tambahan kepada Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Pengaturan Ulang Alik Berkala (PCA), mengambil kira situasi Covid-19 dan memastikan keselamatan serta kesihatan rakyat kedua-dua negara.

"Perincian operasi pengiktirafan sijil vaksin Malaysia-Singapura, termasuk syarat terperinci, protokol kesihatan, dan proses permohonan keluar masuk ke Malaysia dan Singapura akan diperhalusi dan dimutamadkan kedua-dua pihak," kata kenyataan itu.

Kedua-dua menteri bertemu di Putrajaya hari ini untuk membincangkan isu kepentingan bersama kedua-dua negara, selain isu serantau dan antarabangsa.

Sementara itu, pada sidang akhbar, Dr Balakrishnan berkata, perjalanan rentas sempadan antara kedua-dua negara atas alasan kecemasan dan ehsan akan dibenarkan mulai bulan depan

"Kami akan berusaha dapatkan butiran lanjut, mula beroperasi bulan depan (April)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada masa ini, rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dan ingin pulang ke negara ini atas urusan kecemasan dan ehsan perlu mengemukakan permohonan.

Mengenai aturan RGL dengan Malaysia yang kini ditangguhkan, Dr Balakrishnan berkata, mungkin disambung semula mulai Mei.

Dr Balakrishnan juga menyampaikan undangan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengadakan lawatan rasmi ke Singapura dalam waktu terdekat.

Ketika program vaksinasi sedang rancak dilaksanakan, beliau berkata, apabila kedua-dua Perdana Menteri itu bertemu kelak diharapkan akan ada pengumuman penting mengenai perjalanan rentas sempadan.

"Ini akan membolehkan mereka yang ada ahli keluarga bertemu semula, perniagaan disambung, dan membenarkan kembali pelancongan dan kita dapat menyaksikan tambak dan lapangan terbang kembali sibuk," katanya.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, pada dasarnya, kedua-dua negara telah mencapai persetujuan berhubung perjalanan rentas sempadan.

Namun, katanya, semua pihak berkepentingan termasuk kementerian berkaitan serta kerajaan Johor perlu melakukan pelarasan untuk memudahkan pelaksanaan inisiatif tersebut.

"Saya gembira untuk menyatakan bahawa setakat ini kedua-dua kementerian luar telah mencapai beberapa perjanjian ke arah kemajuan positif bersama," katanya.

Dr Balakrishnan dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Malaysia mulai hari ini, yang merupakan sebahagian lawatan serantau beliau, termasuk kunjungan ke Brunei dan Indonesia.

Selepas bertemu Hishammuddin, beliau dijadualkan mengunjungi Muhyiddin di Perdana Putra pada 2.30 petang.

Dr Balakrishnan turut dijadual bertemu Menteri Kanan - Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!