Operasi ekzos untuk ketenteraman awam bukan cari wang: KPN
KUALA LUMPUR - Operasi menyasarkan kesalahan pengubahsuaian ekzos motosikal yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara bertujuan mendidik pemilik kenderaan berkenaan agar menghormati hak dan ketenteraman awam.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador juga menangkis dakwaan yang mengatakan polis menjalankan operasi berkenaan demi mencari wang untuk kerajaan ketika pandemik Covid-19 melanda negara.
Beliau berkata, pihaknya juga turut mendapat banyak aduan orang ramai terutama dari kawasan perumahan yang merayu agar polis dapat berbuat sesuatu mengenai bunyi bising dari motosikal yang diubah suai.
“Keharmonian dan keamanan kawasan perumahan diganggu oleh perbuatan individu yang tidak bertanggungjawab, yang telah lakukan pengubahsuaian kepada ekzos motosikal demi untuk rasa hebat dan kepercayaan tidak logik iaitu boleh meningkatkan kelajuan motosikal terbabit,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar khas bersama Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) di Bukit Aman di sini pada Selasa.
Beliau berkata, PDRM juga tidak berniat untuk menyusahkan pengguna jalan raya dengan menjalankan operasi itu dan meningkatkan saman sebaliknya ia juga dilaksanakan demi keselamatan penunggang motosikal dan pengguna jalan raya lain.
Abdul Hamid berkata, pengubahsuaian yang dilakukan oleh pemilik motosikal terhadap ekzos mereka bukanlah menelan kos yang murah bahkan sehingga mencecah ribuan ringgit.
Operasi Khas Ubahsuai Ekzos itu dilaksanakan di seluruh negara itu bermula 1 Mac lepas.
Abdul Hamid berkata, semakan dalam isu pengubahsuaian ekzos bagi pemilik motosikal mendapati, rata-rata mereka mempunyai minat dan keseronokan dalam mengubahsuai terutama bentuk kosmetik luaran.
“Tujuan pengguna motosikal melakukan pengubahsuaian adalah kerana ingin motosikal milik mereka kelihatan lebih bergaya dan pada masa sama untuk meningkatkan kelajuan motosikal secara maksimum,” katanya.
Abdul Hamid berkata, pihak JSPT telah diarahkan agar meningkatkan operasi-operasi di jalan raya dan melancarkan pelbagai operasi sejak tahun lepas seperti operasi samseng jalan untuk lumba haram, operasi khas lampu isyarat lampu merah dan operasi khas kesalahan bunyi bising demi keselamatan orang ramai.
Dalam perkembangan sama, Abdul Hamid berkata, sebanyak 6,167 kematian dicatatkan akibat kemalangan melibatkan motosikal pada 2019 dan 4,634 pada tahun lepas.
“Jumlah turun sebanyak 24.86 peratus kerana kurangnya kenderaan di jalan raya,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, pengguna motosikal menyumbang sebanyak 3,959 kematian daripada 6,167 pada tahun 2019 dan sebanyak 3,118 kematian daripada 4,634 pada tahun 2020.
Sementara itu, Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, pihaknya ada berbincang dengan agensi-agensi berkaitan mengenai tindakan terhadap penjualan ekzos atau aksesori motosikal oleh penjual di kedai-kedai aksesori motosikal.
“PDRM ada berbincang dengan agensi lain, tetapi ia di luar bidang kuasa polis kerana polis hanya menumpukan kepada (tindakan) penguatkuasaan.
“Mengenai kedai yang menjual barangan aksesori itu, kita juga ada berbincang dengan kementerian lain khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, untuk ambil tindakan ke atas mereka yang menjual peralatan seperti ekzos dan sebagainya,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!