'Dengar dentuman kuat, nampak percikan api bawah trak'

Black Maria polis yang terbakar dilihat dari kedai makan Zizah dalam kejadian di Demit, Kota Bharu pada Selasa. Gambar kecil: Zizah Yusof
Black Maria polis yang terbakar dilihat dari kedai makan Zizah dalam kejadian di Demit, Kota Bharu pada Selasa. Gambar kecil: Zizah Yusof
A
A
A
KOTA BHARU - Seorang peniaga kedai makan mendakwa mendengar siren polis sebelum bunyi dentuman kuat disusuli percikan api dari bawah trak Black Maria membawa 29 banduan yang terbabit kemalangan dengan sebuah motosikal di Demit di sini pada Selasa.

Kejadian kira-kira jam 9 pagi itu meragut nyawa penunggang motosikal, Muhammad Khalis Mifzal Mohd Kamal, 21, akibat digilis kenderaan tiga tan berkenaan.

Peniaga tersebut, Zizah Yusof, 51, berkata, dia ketika itu berada di kedai makannya yang terletak kira-kira 20 meter dari lokasi kejadian.

Katanya, dia melihat motosikal jenis Yahama LC terperosok di bawah trak sebelum ternampak api menyala lalu memberitahu anggota pengiring dari kereta unit peronda polis (MPV) yang berhenti di hadapan kedainya.

“Polis segera berlari menyelamatkan kesemua banduan dengan mengarahkan mereka turun.

“Banduan dalam keadaan bergari keluar dan dibawa naik ke sebuah lagi Black Maria bersama-sama banduan lain yang berhenti di hadapan, seterusnya beredar dari lokasi,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian pada Selasa.

Zizah berkata, sejak dua tahun berniaga, sudah dua kali kemalangan berlaku dan sebelum ini seorang penunggang motosikal juga maut di tempat sama akibat digilis sebuah treler.

“Laluan utama ini sentiasa sibuk dengan kenderaan termasuk kenderaan berat. Kebanyakannya laju kerana baru melepasi lampu isyarat dari Kubang Kerian dan perlu melalui sebuah jambatan yang sempit. Ini yang mengundang bahaya,” katanya.

Kemalangan pada Selasa berlaku apabila mangsa dipercayai terlanggar belakang sebuah kereta jenis Proton Saga yang dipandu seorang wanita.

Artikel Berkaitan:

Mangsa kemudian tercampak ke laluan bertentangan dan digilis Black Maria datang dari arah Pengkalan Chepa.

Trak berkenaan membawa seramai 29 banduan dari lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu untuk ke Pusat Tahanan Kuarantin Covid-19 di Batu Jong, Kuala Krai.

Sementara itu, abang ipar mangsa, Afnan Hasan Suhaimi, 34, berkata, dia mengetahui kejadian itu menerusi panggilan telefon daripada kenalannya sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, mangsa dalam perjalanan ke Pusat Latihan Memandu di Pengkalan Chepa untuk belajar memandu dan tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum ini.

“Cuma pagi tadi saya rasa pelik kerana ketika saya bangun dia sudah pun keluar lebih awal dengan menunggang motosikal.

“Memang tahu dia ambil lesen memandu,” katanya ringkas kerana masih terkejut dengan kejadian tersebut.

Mayat mangsa dihantar Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian.

ARTIKEL BERKAITAN:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!