Jual makanan di lampu isyarat, masih ada peniaga ingkar
KOTA BHARU - Segelintir golongan peniaga makanan di kawasan persimpangan lampu isyarat dikesan masih lagi ingkar apabila terus menjadikan lokasi itu sebagai 'lubuk' menjana pendapatan meskipun pihak berkuasa negeri ini sudah mengeluarkan larangan untuk tidak berbuat demikian.
Tinjauan Sinar Harian pada Selasa mendapati kegiatan itu masih lagi aktif, sekali gus memperlihatkan para peniaga itu sanggup berdepan risiko disaman oleh anggota polis untuk mendapatkan rezeki.
Walaupun 'dibakar' terik mentari golongan peniaga jalanan itu dilihat tidak berganjak dalam memasarkan produk mereka kepada pemandu kenderaan atau motosikal yang menggunakan laluan tersebut.
Bukan itu sahaja, turut kelihatan pengguna jalan raya yang membeli makanan tersebut sementara menunggu lampu isyarat merah bertukar hijau.
Sinar Harian 16 Mac lalu melaporkan, Polis Kelantan akan mengenakan tindakan saman kepada pembeli dan penjual makanan di persimpangan lampu isyarat.
Tindakan itu merupakan satu kesalahan Akta Lalulintas Jalan Raya dan tindakan boleh dikenakan di bawah 10A (1) LN 166/59 Peraturan Lalu Lintas Jalan Raya.
Bermula 15 hingga 17 Mac lalu, Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kelantan telah mengeluarkan 22 saman terhadap penjaja makanan di lampu isyarat di lokasi di Jalan Hamzah, Jalan Kuala Krai dan Lembah Sireh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!