Status halal: Restoran, pasar raya dikenakan tindakan
KUDAT - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Kudat pada Isnin mengenakan tindakan bawah Akta Perihal Dagangan 2011 ke atas dua premis selepas disyaki melakukan perbuatan mengelirukan pengguna berkaitan status halal.
Ketua Cawangan KPDNHEP Kudat, Geoffrey Gumalang berkata, operasi bersepadu bermula jam 10 pagi itu dilakukan bersama Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah (JHEINS) Kudat, Pejabat Kesihatan Kawasan Kudat dan Lembaga Bandaran Kudat (LBK).
Menurutnya, kes pertama membabitkan sebuah restoran yang membekalkan makanan dengan perbuatan yang mengelirukan bahawa makanan itu halal atau boleh dimakan oleh penganut Islam walhal ia tidak diperakukan sedemikian oleh pihak berkuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
"Kes kedua melibatkan sebuah pasar raya yang didapati menjual barang makanan yang diimport dari China yang diperihalkan sebagai halal namun hasil pemeriksaan barangan itu tidak mendapat sebarang perakuan halal dari mana-mana badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) seperti yang dinyatakan dalam Jadual Kedua Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Dan Penandaan Halal) 2011," katanya kepada Sinar Harian, pada Selasa.
Beliau berkata, susulan operasi itu, semua barangan berkaitan yang dianggarkan bernilai RM1,148.10 telah disita untuk siasatan lanjut.
Geoffrey dalam pada itu menegaskan KPDNHEP Kudat akan sentiasa melakukan pemantauan dan pemeriksaan secara proaktif berhubung penguatkuasaan halal bagi memastikan keseluruhan premis perniagaan khususnya yang menjual makanan dan minuman sentiasa patuh mengikut undang-undang yang ditetapkan.
"Orang ramai yang ingin menyemak berkaitan isu atau status halal disarankan melayari laman sesawang http://www.halal.gov.my atau tampil membuat aduan sekiranya ragu berhubung status halal barangan atau makanan.
"Aduan juga boleh dikemukakan secara dalam talian di e-aduan.kpdnhep.gov.my, aduan melalui aplikasi WhatsApp di nombor 0192794317 atau menghubungi terus pejabat KPDNHEP Kudat di talian 088-615301," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!