ST sita barangan elektrik bernilai lebih RM100,000 di Klang

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Kira-kira 350 kelengkapan elektrik iaitu penggoreng kering dan periuk tekanan bernilai lebih RM100,000 disita Suruhanjaya Tenaga (ST) dalam satu operasi di sebuah gudang simpanan di Klang pada Selasa.

Dalam kenyataan pada Selasa, ST berkata, hasil serbuan didapati gudang simpanan sebuah syarikat tersebut mengimport dan menjual kelengkapan elektrik melalui platform secara dalam talian tanpa kelulusan ST dan label SIRIM-ST.

Susulan itu katanya, kertas siasatan akan dibuka di bawah Peraturan 97, Peraturan-peraturan Elektrik 1994 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

ST berkata, pihaknya akan terus meningkatkan aktiviti penguatkuasaan bagi membanteras penjualan kelengkapan elektrik yang tidak selamat di negara ini untuk memastikan pengguna dilindungi daripada bahaya yang berpunca daripada bekalan tenaga elektrik.

"ST ingin mengingatkan pengimport dan penjual kelengkapan elektrik terutama penjual secara dalam talian supaya mendapatkan kelulusan ST serta memastikan kelengkapan elektrik tersebut memenuhi standard dan telah diuji oleh makmal ujian yang diiktiraf sebelum dijual, bagi menjamin keselamatan pengguna," katanya.

Tambahnya, pengguna juga dinasihatkan supaya hanya membeli kelengkapan elektrik yang diluluskan dan mempunyai label SIRIM-ST serta boleh melapor dan membuat aduan kepada ST sekiranya mendapati terdapat penjualan kelengkapan elektrik yang tidak selamat melalui laman web, www.st.gov.my. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!