Segera tamatkan sekatan, ambil kira kepentingan dua hala: PM

Muhyiddin menerima kunjungan hormat Balakrishnan (dua dari kanan) yang mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia. Foto Facebook Muhyiddin Yassin
Muhyiddin menerima kunjungan hormat Balakrishnan (dua dari kanan) yang mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia. Foto Facebook Muhyiddin Yassin
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap beberapa sekatan, yang berupa penangguhan terhadap pengaturan yang telah dipersetujui Malaysia dan Singapura sebelum ini, dapat ditamatkan segera dengan mengambil kira kepentingan hubungan dua hala.

Beliau berkata ia merangkumi pengaturan timbal balas perjalanan Reciprocal Green Lane (RGL), pengaturan perjalanan berkala Periodic Commuting Arrangement (PCA), dan pengaturan perjalanan harian Daily Commuting Arrangement (DCA).

Perkara itu dikongsi Muhyiddin dalam catatan di laman Facebook miliknya selepas beliau menerima kunjungan hormat Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan yang mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia bagi membincangkan pelbagai bidang hubungan dua hala seperti perdagangan, pelaburan dan kesihatan.

Menurut catatan Muhyiddin, Balakrishnan dalam pertemuan itu turut menyerahkan surat jemputan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong kepadanya untuk menghadiri Pemukiman Pemimpin Tahunan Malaysia-Singapura kali ke-10.

“Saya mengambil maklum cadangan pihak Singapura untuk menjadi tuan rumah sesi pemukiman itu dalam tahun ini selepas ditangguhkan pada tahun 2020 akibat wabak Covid-19," kata Muhyiddin.

Mengenai cadangan pengiktirafan timbal balas terhadap sijil vaksin Covid-19, Muhyiddin menyeru agar kerjasama di peringkat teknikal melibatkan kedua-dua negara dapat diteruskan dan dimuktamadkan pada masa hadapan.

Beliau sependapat dengan Balakrishnan, bahawa Covid-19 telah memberi cabaran baharu kepada negara masing-masing, namun pandemik itu tidak seharusnya dijadikan halangan dalam usaha meningkatkan kerjasama sedia ada antara negara berjiran, katanya.

Dalam pertemuan itu, Muhyiddin turut membangkitkan mengenai keadaan semasa di Myanmar dan hala tuju ASEAN dalam menangani krisis berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Di akhir perjumpaan, saya menyatakan komitmen Malaysia untuk bukan sahaja meneruskan hubungan baik yang sedia terjalin dengan Singapura, malah memperkukuhkan lagi tahap hubungan sedia ada," katanya.

Balakrishnan diiringi Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Singapura Chee Wee Kiong, manakala turut hadir di pihak Malaysia ialah Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!