Sultan Ibrahim cadang kerajaan Johor hidupkan kembali JVF

SULTAN IBRAHIM
SULTAN IBRAHIM
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Selasa mencadangkan kepada kerajaan negeri supaya menghidupkan kembali pasukan sukarelawan Johor Volunteer Force (JVF) yang pernah ditubuhkan oleh Almarhum Sultan Ibrahim pada tahun 1905.

Baginda bertitah, sebagai langkah permulaan, semua pegawai tadbir negeri Johor perlulah diserapkan di bawah JVF dan diberikan latihan asas ketenteraan bersama Askar Timbalan Setia Negeri Johor.

"Ini bertujuan menambah kecergasan dan memperkasa disiplin pegawai-pegawai kerajaan. Sehubungan itu juga, pegawai berkenaan boleh memakai uniform JVF semasa bertugas atau menghadiri majlis bersesuaian. Ini secara tidak langsung akan meningkatkan imej dan penampilan pegawai tersebut," titah baginda menerusi hantaran di laman Facebook Royal Press Office (RPO) di sini pada Selasa.

Sultan Ibrahim bertitah demikian pada Majlis Pelancaran Akademi Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor (JCS) dan sesi Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) serta Perjanjian Kerjasama yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini bersempena sambutan ulang tahun hari keputeraan rasmi baginda.

Turut berangkat ke majlis itu ialah Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Sementara itu, mengenai Akademi JCS, Sultan Ibrahim bertitah, penubuhannya merupakan satu langkah strategik bagi meningkatkan kecekapan pegawai dan kakitangan kerajaan negeri.

Selain memberikan ilmu baharu, baginda bertitah, akademi itu juga harus memberikan pendedahan dan pengajaran mengenai kes-kes mahkamah yang merugikan kerajaan akibat tindakan dan keputusan yang silap serta perjanjian yang berat sebelah supaya kesalahan sedemikian tidak berulang lagi.

Baginda berharap akademi ini akan menjadi pusat perkembangan ilmu pengetahuan dan peningkatan mutu perkhidmatan awam negeri.

Artikel Berkaitan:

“Penubuhan Akademi JCS ini adalah tepat pada masanya. Ia perlu berfungsi sebagai sebuah badan perkembangan ilmu untuk melahirkan kakitangan kerajaan yang mahir dalam bidang pengurusan dan pembentukan dasar negeri,” titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah, melalui jalinan kerjasama dengan agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta badan profesional, diharapkan akademi ini mampu memberi nilai tambah kepada peningkatan ilmu pengetahuan dan perkongsian pengalaman dalam pelbagai bidang. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!