Menyantuni keperluan kemanusiaan
SAAT penulis menyoroti fakta dan data terkini konflik Syria yang dikeluarkan daripada pelbagai sumber seperti PBB, International Committee of Red Cross (ICRC) dan Human Rights Watch (HRW) ini, penulis menyedari betapa dahsyatnya kesan sesebuah peperangan dan benar-benar merasai syukur di atas nikmatnya sebuah keamanan, kedamaian dan juga kebebasan yang kita kecapi di bumi bertuah Malaysia.
Di atas keinsafan itu, penulis bersama pasukan Malaysian for Syria (MFS) sejak 2012 dan juga rakan-rakan NGO yang lain, yang baru mahupun yang telah lama dalam persada kemanusiaan terus kekal berjuang untuk memberikan kehidupan yang lebih baik kepada mereka yang menjadi mangsa peperangan.
Gerak kerja bantuan kemanusiaan untuk Syria kini tidak hanya tertumpu kepada bantuan skala masa pendek semata-mata.
MFS bersama gabungan rakan-rakan NGO yang lain kini sedang dalam proses membina sebuah perkampungan Malaysia yang dinamakan Kampung Syrian al-Hayah (hampir 80 peratus siap) yang bakal menempatkan 100 buah keluarga di al-Bab, Syria.
Dalam masa terdekat, 100 buah keluarga ini akan berpindah dari kem-kem perkhemahan yang usang dan kekurangan dari pelbagai segi ke sebuah penempatan wakaf yang lebih baik. Alhamdulillah.
Tahun demi tahun, ketika mana Malaysia telah mula menjadi destinasi pilihan kepada pelarian Syria untuk mendapatkan perlindungan, MFS melihat kepada keperluan segera pendidikan untuk anak-anak yang sukar mendapat akses dan tidak mampu untuk membiayai yuran di sekolah swasta di Malaysia.
Maka sejak tahun 2017, MFS telah membuka Pusat Pembelajaran Alternatif Jasmine Ash-Sham (PBA Jasmine Ash-Sham) yang merupakan sekolah pelarian Syria yang pertama di Malaysia dan kini mempunyai hampir 120 orang pelajar dari peringkat rendah sehingga ke menengah.
Jujur penulis katakan, rakyat Malaysia merupakan sebuah masyarakat yang sangat prihatin.
Walaupun mungkin ada yang masih skeptikal dengan bantuan yang disalurkan ke luar negara dan diibaratkan umpama kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan, ia tidak merencatkan sedikit pun usaha kita bersama untuk meringankan beban dan kesakitan yang dilalui oleh masyarakat di luar sana.
Bantu
Maka persoalan berikutnya, sehingga bila kita perlu membantu Syria?
Pendapat penulis, apabila sampai waktunya segalanya kembali tenang, aman dan keselamatan mereka telah terjamin.
Pemimpin-pemimpin dunia harus menzahirkan ketegasan untuk mencapai kata putus dalam menyelesaikan konflik peperangan di Syria.
Suatu ketika dahulu Malaysia pernah membantu Bosnia Herzegovinia dari segi diplomasi, bantuan kewangan, kemanusiaan dan moral termasuk menghantar tentera Malaysia untuk menganggotai tentera pengaman PBB ke sana.
Begitulah jua harapan penulis dalam usaha-usaha yang digerakkan untuk menangani konflik peperangan Syria.
Membiarkan mereka tanpa membawa solusi segera untuk menangani hak dan keperluan asas kehidupan manusia seperti tempat untuk berlindung, jaminan keselamatan, akses kepada perkhidmatan kesihatan dan juga pendidikan hanya akan mencetuskan pelbagai permasalahan yang mungkin akan timbul pada masa hadapan.
Satu dekad konflik kemanusiaan Syria, semoga ia memberi ibrah dan pengajaran yang berguna untuk kita semua.
Sebagai sebuah refleksi, andai kita tidak melakukan sesuatu untuk memelihara nyawa manusia, maka dimanakah duduknya dhomir dan nilai kemanusiaan dalam diri kita?
Penulis mengajak kita semua untuk menzahirkan rasa syukur dengan berkongsi kebahagiaan dengan mereka yang kurang bernasib baik, bukan sahaja untuk Syria tetapi untuk semua.
Salam keamanan sejagat.
* Syahrir Azfar Saleh ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Malaysia for Syria merangkap Ketua Pegawai Operasi Global Peace Mission (GPM) Malaysia yang berpengalaman menghantar Misi Bantuan Kemanusiaan ke Syria sejak tahun 2012
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!