Sembilan premis lombong bitcoin diserbu
NILAI - Polis dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) membongkar kegiatan mencuri bekalan elektrik bagi menjalankan aktiviti melombong mata wang digital bitcoin di sembilan premis di Bandar Baru Nilai dan Bandar Enstek di sini, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, kegiatan yang menyebabkan kerugian kira-kira RM2.1 juta dalam tempoh setahun kepada pihak TNB itu berjaya dihidu selepas risikan dalam tempoh dua minggu.
"Berdasarkan risikan terdapat kejanggalan terhadap premis antaranya kamera litar tertutup (CCTV), tingkap dibuka di tingkat atas dan kedengaran bunyi bising pada waktu malam.
"Kita turut menjumpai beberapa resit bil elektrik yang menunjukkan penggunaan yang agak tinggi daripada biasa," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi.
Menurutnya, hasil pemeriksaan terhadap kesemua premis, polis telah merampas sebanyak 581 mesin bitcoin yang bernilai dianggarkan RM1.6 juta.
Selain itu katanya, dua lelaki termasuk seorang lelaki warga China berusia 30-an ditahan ketika sedang membuat penyelenggaraan di sebuah premis.
"Modus operandi kegiatan ini biasanya akan menggunakan premis tingkat atas bagi mengelak dikesan pihak berkuasa kerana operasi mesinnya yang agak bising.
"Kegiatan ini berjaya dikesan dalam operasi bersepadu yang dilakukan bermula 1 tengah hari sehingga 5 petang (Selasa) dan ia merupakan kali pertama di daerah Nilai serta terbesar setakat ini di Negeri Sembilan," katanya.
Tambah Mohd Fazley, polis akan mengesan pemilik premis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!