'Ibu kandung tak pernah jenguk'

Salinan rekod kemasukan milik Nikmah ke Malaysia yang diperoleh Syamihah.
Salinan rekod kemasukan milik Nikmah ke Malaysia yang diperoleh Syamihah.
A
A
A

MUAR - Sepasang suami isteri dari Bukit Naning, Bakri di sini memohon orang ramai membantu mengesan seorang wanita warganegara Indonesia.

Syamehah Mohd Musataram, 32, berkata, wanita dikenali Nikmah berusia 32 tahun itu diperlukan bagi melengkapkan maklumat berhubung urusan pengambilan anak angkat.

“Bayi perempuan bernama Nurul Amira Syafika merupakan anak Nikmah yang kini diserahkan kepada saya dan suami.

“Bagaimanapun, ada beberapa urusan pengambilan anak angkat yang masih belum selesai dan memerlukan kehadiran ibu kandungnya.

“Justeru, saya mohon mana-mana individu yang mengenali wanita seperti dalam gambar ini untuk segera menghubungi saya,” katanya kepada Sinar Harian.

Syamehah berkata, kehadiran Nikmah adalah penting bagi melengkapkan sijil pengangkatan yang akan dikeluarkan oleh JPN demi mengelakkan sebarang tuntutan di kemudian hari.

Menurut Syamehah, terakhir kali dia bertemu wanita itu adalah pada 31 Januari lalu sewaktu Nikmah melahirkan Nurul Amira Syafika.

“Selama dua minggu menjaga bayi ini, Nikmah tidak pernah menjenguk atau menghubungi kami. Kami tiada nombor telefonnya menyebabkan sukar untuk menjejaki wanita itu.

Artikel Berkaitan:

“Sebelum ini, kami dimaklumkan oleh rakan mengenai hasrat seorang wanita yang sarat mengandung mahu mencari ibu bapa angkat untuk anaknya yang bakal lahir.

“Dan ketika bayi ini dilahirkan, barulah saya berkesempatan bertemu Nikmah sebelum wanita itu menghilangkan diri sehingga kini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!