Suria KLCC tawar ganjaran hebat menerusi mesin angkup layan diri
BERMULA sekarang sehingga 4 April depan, pelanggan yang berbelanja sekurang-kurangnya RM150 dalam satu resit di mana-mana kedai khas di Suria KLCC akan menerima ganjaran sempena kempen ‘The Great Giveaway’.
Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd, Andrew Brien berkata, kempen ‘The Great Giveaway’ membuka peluang setiap hari kepada pelanggan bertuah untuk membawa pulang hadiah utama yang merupakan baucar membeli-belah Suria KLCC bernilai RM5,000.
Menurutnya, dua lagi pelanggan akan menerima hadiah menarik bernilai RM2,500 setiap hari dari jenama Versace La Mer, Dyson, Tissot, Mont Blanc, Royal Selangor, Machines, Bulgari dan Bose Store oleh Flash Gadgets.
"Untuk menceriakan lagi kempen ini, Suria KLCC memperkenalkan Mesin Angkup Layandiri Tanpa Sentuh (Contactless Claw Vending Machine) yang pertama di Malaysia.
"Mesin angkup layan diri yang diperkenalkan Suria KLCC ini mempunyai keunikan teknologi di mana pelanggan hanya perlu menggunakan telefon pintar mereka untuk mengemudi tanpa menyentuh mesin tersebut secara fizikal," katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, tanpa perlu sentuhan fizikal, pelanggan berupaya mengawal dan mengemudi angkup tersebut dalam jarak dua meter hanya dengan mengimbas kod QR untuk memperoleh akses alat kawalan maya melalui telefon pintar masing-masing.
Katanya, kandungan sfera yang berjaya diangkup menjadi penentu pemenang bertuah RM5,000 baucar membeli-belah Suria KLCC atau hadiah-hadiah menarik lain bernilai sehingga RM2,500.
“Untuk kempen kali ini, Suria KLCC memperkenalkan mesin angkup layan diri pertama di Malaysia yang menawarkan keupayaan penggunaan tanpa sentuh sejajar dengan inisiatif Suria KLCC untuk menyediakan kemudahan, keselamatan dan pengalaman lancar serta selesa kepada pelanggan kami,” katanya.
Sementara itu di Terengganu pula, Mesra Mall mengadakan kempen ganjaran yang menarik untuk pelanggan dari 21 Mac hingga 10 April depan melalui kempen ‘You Spend, We Reward’ (Anda Berbelanja, Kami Beri Ganjaran).
Brien berkata, pihaknya teruja untuk melancarkan kempen ‘You Spend, We Reward’ di mana pembeli akan menerima ganjaran merupakan hadiah-hadiah menarik untuk menjadikan pengalaman membeli-belah mereka lebih mengujakan dan ia akan menjadi landasan terbaik sempena ketibaan Hari Raya Aidilfitri.
Menurutnya, hanya dengan berbelanja RM200 atau lebih dalam dua resit di mana-mana kedai khas di Mesra Mall, pelanggan boleh menebus set ekslusif dari The Body Shop sementara stok masih ada.
"Mereka juga secara automatik layak untuk mencuba Cabutan Bertuah Mingguan. Selain itu, 10 pelanggan pertama yang menebus ganjaran setiap Ahad dan Isnin akan menerima baucar tunai Nando’s bernilai RM30," katanya.
Untuk setiap Cabutan Bertuah Mingguan, pembeli akan membuat cabutan untuk menentukan baucar tunai yang dimenangi sama ada daripada Pierre Cardin, Rasa Sayang atau Siti Khadijah yang bernilai RM1,000.
Cabutan mingguan akan diadakan pada jam 3 petang pada 28 Mac, 4 April dan 11 April 2021 di Centre Court.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!