Perak perhalusi cadangan bazar Ramadan di masjid
IPOH - Kerajaan negeri Perak sedia mempertimbangkan cadangan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) supaya masjid di negeri ini menganjurkan bazar Ramadan pada tahun ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad bagaimanapun berkata, perkara itu perlu diperhalusi terlebih dahulu dalam beberapa aspek seperti kebersihan, keluasan tempat dan kemudahan parkir.
Menurutnya, semua penganjuran bazar Ramadan diletakkan di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menentukan pelaksanaan serta penguatkuasaan agar peraturan yang ditetapkan dipatuhi.
"Biasanya kita mengeluarkan lesen bazar Ramadan ini melalui PBT. Saya faham cadangan JAIPk itu ialah untuk memudahkan orang Islam yang berkunjung ke masjid selepas waktu Asar untuk membeli juadah dan terus balik. Ada setengah itu pula mereka mengadakan majlis berbuka puasa di masjid.
"Cuma kita harus ingat kawasan bazar Ramadan ini ada banyak persiapan yang perlu. Pertama kena ada khemah, kanopi, keluasan tapak dan kemudahan parkir. Bukan semua masjid atau tempat-tempat boleh diadakan bazar Ramadan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kempen e-Waste Peringkat Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.
Hadir sama pada majlis itu ialah Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Akmal Kamarudin; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Azmir Shah Zainal Abidin dan Pengarah Jabatan Alam Sekitar negeri, Rosli Zul.
ARTIKEL BERKAITAN: JAIPk galak masjid anjur bazar Ramadan
Saarani berkata, kebenaran menganjurkan bazar Ramadan diletakkan di bawah kendalian PBT kerana ia melibatkan penguatkuasaan dari aspek kebersihan, kesihatan dan pengurusan sisa pepejal.
Jika pengurusan bazar Ramadan tidak dilaksanakan dengan baik, katanya, kerajaan negeri bimbang ia akan mendatangkan masalah kepada pengurusan masjid.
"Jika ia mendatangkan kebaikan dan memeriahkan bazar Ramadan atau bulan Ramadan itu sendiri, kita boleh pertimbangkan. Tapi seperti saya sebut sebelum ini, kita tak nak banyak sangat bazar Ramadan," katanya.
Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan bahawa JAIPk menggalakkan masjid-masjid di negeri ini menganjurkan bazar Ramadan pada tahun ini sebagai alternatif mengurangkan kesesakan bazar Ramadan sedia ada.
Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, pengurusan masjid yang ingin mengadakan bazar Ramadan bagaimanapun perlu mendapatkan kebenaran daripada PBT di daerah masing-masing supaya operasi perniagaan dapat dijalankan secara sah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!