Pas perlu tentukan mahu bersama UMNO atau Bersatu: UMNO Kelantan

No Image Caption
A
A
A

KOTA BHARU – UMNO Kelantan mahu Pas membuat keputusan dengan jelas dan segera sama ada mahu bersama parti itu ataupun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Setiausaha UMNO Kelantan, Akbar Salim berkata, perkara tersebut diputuskan 12 UMNO bahagian di negeri ini selepas mengadakan mesyuarat di sini pada Selasa.

“Ada empat perkara yang kami putuskan melalui mesyuarat tersebut dan antaranya ialah untuk minta Pas membuat keputusan jelas dan segera mengenai hubungan dengan Bersatu tersebut.

“Selain itu, kami ingin memaklumkan, pendirian UMNO Bahagian Ketereh yang dihantar kepada presiden parti adalah kes terpencil kerana tidak melalui Badan Perhubungan UMNO Negeri,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, dua lagi perkara lain yang diputuskan ialah UMNO Kelantan terus mendokong institusi kepresidenan dan menyokong kepimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden parti itu.

Malah katanya, pihaknya juga masih dengan pendirian untuk memutuskan hubungan dan kerjasama dengan parti Bersatu sebagaimana usul yang diluluskan dalam 12 Mesyuarat Perwakilan Bahagian sebelum ini.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, usul memutuskan kerjasama UMNO dengan Bersatu dijangka menjadi tumpuan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) di Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur secara bersemuka dan maya pada 27 dan 28 Mac ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, usul yang dibangkitkan 124 bahagian UMNO itu merupakan majoriti usul daripada 190 bahagian UMNO yang telah bersidang pada 1 hingga 3 Januari lalu.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!