Sewa kondominium simpan 881kg minyak masak
KOTA BHARU - Tindakan seorang lelaki menyimpan minyak masak tanpa lesen di sebuah kondominium bagi mengaburi pihak berkuasa terbongkar selepas diserbu pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), pada Selasa.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri KPDNHEP Negeri, Azanizam Affendi Juri berkata, operasi bersepadu yang diadakan bersama Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) bermula jam 6 petang dan berakhir pada jam 3 pagi hasil intipan selama seminggu.
Menurutnya, dalam serbuan itu, pihaknya menahan seorang lelaki yang disyaki menyewa kondominium itu dan 881 kilogram minyak masak pelbagai jenama bernilai RM2,200.
"Modus operandi kegiatan ini adalah menjadikan sebuah kondominium di atas sebuah pasar raya di Kota Bharu sebagai tempat transit sementara barang kawalan bersubsidi.
"Minyak masak itu akan diletakkan dalam kotak barangan lain antaranya ialah air mineral, makanan dan lain-lain barangan bagi mengaburi pihak berkuasa," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Katanya, minyak masak itu dipercayai diperoleh dengan membuat belian dari pasar raya, peruncit dan pemborong sekitar Kota Bharu.
"Kes akan disiasat lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!