Prolintas, SUKE fokus pembaikan tapak kejadian
KUALA LUMPUR - Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn Bhd (Prolintas) dan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) memfokuskan kerja pengalihan struktur kren gantri dan pembaikan di tapak kejadian kemalangan di Persiaran Alam Damai, Cheras di sini.
Prolintas dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan, proses pengalihan dan pembaikan yang rumit ini akan mengambil masa beberapa hari atas sebab keselamatan terutamanya kepada penduduk sekitar dan pekerja di tapak.
Menurutnya, antaranya adalah bagi memastikan struktur lebuh raya yang terlibat kekal utuh, tambahan pula kerja-kerja pengalihan kren gantri yang terlalu berat memerlukan proses pemotongan kepada beberapa bahagian kecil sebelum dibawa turun.
"Untuk memastikan keselamatan penduduk terutamanya yang tinggal di Kondominium Puncak Banyan, jalan alternatif telah siap diturap sejak hari pertama kejadian dan dibuka untuk kegunaan penduduk.
"Sebagai akses keluar masuk, lencongan dan penutupan sementara sebahagian laluan di Persiaran Alam Damai untuk kedua-dua arah berkuat kuasa serta-merta sehingga kerja-kerja pembaikan selesai," katanya.
Tambah kenyataan itu, bagi pengguna dari arah Jalan Lingkaran Tengah Dua (MRR2) yang ingin menuju ke Alam Damai akan dilencongkan ke Jalan Cerdas (Pasar Malam Taman Connaught) untuk keluar ke Jalan Alam Damai berhampiran OCBC Bank.
Jelasnya, penempatan pengawal trafik dan lalu lintas, kon keselamatan, papan tanda amaran dan arah telah diletakkan di sepanjang laluan yang terlibat.
Justeru, pihaknya memohon maaf di atas segala kesulitan berkaitan kejadian itu dan sebarang pertanyaan boleh hubungi saluran komunikasi pihaknya di talian Hotline 1300-88-9922, e-mel feedback.suke@prolintas.com.my, Twitter @mySUKEofficial dan Facebook Prolintas Highways.
"Prolintas mengucapkan terima kasih kepada pasukan penyelamat yang telah bertungkus-lumus dalam usaha memastikan kerja-kerja yang dijalankan sempurna dan tanpa kesulitan susulan daripada insiden ini," katanya.
Dalam insiden jam 8.45 pagi Isnin lalu, komponen kren gantri di tapak pembinaan lebuhraya SUKE yang sedang dalam pembinaan jatuh dan menimpa sebuah kereta jenis Perodua Bezza.
Kejadian itu menyebabkan tiga pekerja asing warga China iaitu Ding Kunfu, Jiang Jinboa termasuk Tong Zheng yang dikatakan sedang melakukan kerja penyelenggaraan kren maut, manakala pemandu kereta warga tempatan dan dua lagi pekerja asing cedera.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!