Dua restoran gajikan PATI digempur
KUALA LUMPUR - Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Putrajaya menahan 29 pekerja warga asing dalam Ops Selera di dua restoran di Kampung Abu Bakar Baginda, Kajang dan Presint 11, Putrajaya pada Selasa.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi itu dilakukan berdasarkan aduan awam dan hasil risikan.
"Seramai 31 orang telah diperiksa dan hasilnya seramai 29 warga asing telah ditahan," katanya melalui kenyataan pada Rabu.
Khairul Dzaimee berkata, seramai 10 lelaki dan 11 perempuan warga Indonesia, tujuh lelaki warga India dan seorang lelaki warga Myanmar tanpa pas yang sah sebagai pekerja ditahan dalam operasi itu.
"Selain itu tiga lelaki warga tempatan turut dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan," katanya.
Menurutnya, seorang lelaki warga asing telah bertindak di luar kawalan dan agresif dalam usaha melarikan diri ketika pemeriksaan dilakukan.
"Walau bagaimanapun, tindakan pantas beberapa pegawai Imigresen berjaya menahan lelaki tersebut," katanya.
Beliau berkata, seorang pegawai kanan tercedera dalam insiden itu dan dia telah dihantar ke hospital untuk rawatan.
"Pihak hospital mengesahkan ibu jari tangan pegawai tersebut telah patah dan diberi rawatan lanjut," katanya.
Dalam pada itu, Khairul Dzaimee berkata, kesemua tahanan berusia 21 hingga 55 tahun itu telah dibawa ke Pejabat Kesihatan Daerah untuk melakukan ujian saringan Covid-19.
"Setelah keputusan ujian mendapati semua tahanan negatif, mereka telah dibawa dan di ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Lenggeng, Negeri Sembilan untuk siasatan dan tindakan lanjut," katanya.
Beliau berkata, siasatan dijalankan di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
"Majikan dinasihatkan agar mendapatkan pas yang sah dan mematuhi syarat-syarat bagi pengambilan pekerja asing.
"Walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ini tidak bermakna kegiatan menyalahi undang-undang negara akan dibiarkan berlaku," katanya.
Khairul Dzaimee berkata,tangkapan dan pendakwaan akan tetap dilakukan ke atas warganegara asing dan majikan yang cuba mengambil kesempatan.
"Orang ramai diminta terus menyalurkan maklumat tentang pendatang asing tanpa izin supaya tindakan penguatkuasaan dapat dijalankan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!