Indeks harga pengguna naik 0.1 peratus

Mohd Uzir Mahidin
Mohd Uzir Mahidin
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi Februari lalu mencatat peningkatan sebanyak 0.1 peratus iaitu 122.5 berbanding bulan yang sama tahun lalu iaitu 122.4.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan keseluruhan itu didorong oleh peningkatan indeks pelbagai barangan dan perkhidmatan (1.6 peratus); makanan dan minuman bukan alkohol (1.4 peratus); minuman alkohol dan tembakau (0.7 peratus) dan kesihatan (0.7 peratus).

“Selain itu, hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (0.3 peratus); perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (0.1 peratus) dan pendidikan (0.1 peratus) turut membantu dalam peningkatan indeks ini yang menyumbang 50.7 peratus kepada keseluruhan wajaran.

“Daripada 552 item yang diliputi dalam IHP, 326 item menunjukkan peningkatan pada Februari lepas. Sebaliknya, 147 item mencatatkan penurunan manakala 79 item lagi tidak berubah,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, indeks teras yang meliputi barangan tidak termasuk item makanan segar dengan harga paling tidak menentu dan barangan serta perkhidmatan harga dikawal turut mencatatkan peningkatan sebanyak 0.7 peratus pada Februari lalu berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

“Antara kumpulan utama yang bertindak sebagai pendorong kepada kenaikan ini adalah kumpulan pelbagai barangan dan perkhidmatan (1.6 peratus); makanan dan minuman bukan alkohol (1.1 peratus); kesihatan (0.7 peratus) dan pengangkutan (0.5 peratus).

“Lain-lain termasuk perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (0.4 peratus); hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (0.3 peratus); pendidikan (0.1 peratus) dan perkhidmatan rekreasi serta kebudayaan (0.1 peratus),” katanya.

Mohd Uzir berkata, berdasarkan prestasi 552 item mengikut kategori barangan dan perkhidmatan, barang tidak tahan lama (296 item) adalah kategori paling banyak mengalami kenaikan harga iaitu 201 item, 79 item menurun dan 16 item lagi tidak berubah berbanding kategori perkhidmatan, barang semi tahan lama serta barang tahan lama.

Artikel Berkaitan:

Walau bagaimanapun, beliau berkata, pengangkutan menurun 2.0 peratus kepada 111.6 berbanding 113.9 pada bulan yang sama tahun sebelumnya yang mana menyumbang 15.6 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP.

“Selain itu, perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain turut menunjukkan penurunan 0.8 peratus, diikuti oleh pakaian dan kasut (-0.4 peratus) serta restoran dan hotel (-0.3 peratus),” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohd Uzir turut memaklumkan IHP tanpa bahan api meningkat 0.4 peratus pada Februari lalu berbanding pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Menurutnya, ia meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali petrol RON95, RON97 dan diesel.

“Purata harga petrol RON95 menunjukkan penurunan pada Februari 2021 iaitu RM1.96 per liter berbanding RM2.07 pada Februari 2020.

“Di samping itu, purata harga petrol RON97 pula menurun kepada RM2.26 per liter berbanding RM2.37 pada bulan yang sama tahun sebelumnya, manakala purata harga diesel kekal pada harga RM2.13 berbanding Februari 2020,” katanya.

Beliau berkata, tujuh negeri menunjukkan peningkatan melepasi paras IHP nasional iaitu 0.1 peratus pada Februari 2021 berbanding Februari 2020.

Negeri terbabit ialah Terengganu (0.8 peratus), Kelantan (0.7 peratus), Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (0.4 peratus), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (0.2 peratus), Pulau Pinang (0.2 peratus), Perak (0.2 peratus) dan Pahang (0.2 peratus).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!