Bila Ekspres Wau nak beroperasi?
TUMPAT - Ketiadaan perkhidmatan tren Ekspres Wau (Tumpat-Kuala Lumpur) umpama menafikan hak rakyat Kelantan.
Sudah memasuki tahun kelima operasi tren itu dihentikan susulan laluan kereta api ke pantai timur dan koc rosak akibat banjir besar pada 2014.
Timbul persoalan, mengapa perkhidmatan tren tersebut masih tidak beroperasi sedangkan laluan ke pantai timur sudah pulih sepenuhnya.
Malah jambatan kereta api Kemubu sudah dibaiki dan tren Ekspres Timuran (Tumpat-Johor) sudah pun beroperasi.
Penduduk Tumpat, Sadberina Ishak, 39, berkata, ketiadaan tren Ekspres Wau menimbulkan tanda tanya kepada penumpang setianya dan setiap kali ke kaunter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), pilihan yang ada hanya perkhidmatan Ekspres Timuran.
"Masih boleh ke Kuala Lumpur tetapi kena transit di Gemas dan perlu menaiki ETS untuk ke Kuala Lumpur," katanya.
Menurutnya, keadaan itu menyusahkan penumpang dari Kelantan kerana perlu menukar tren.
"Payah macam ni, kena angkut barang turun dan tukar tren. Penumpang tak selesa kena tukar tren di Gemas.
"Tapi kalau Ekspres Wau, penumpang sampai ke Kuala Lumpur terus, sekarang ini tren Ekspres Wau dah tiada," katanya.
Sementara itu, sumber KTMB berkata, untuk permintaan tren laluan Tumpat- KL Sentral masih lagi dalam perbincangan.
"Buat masa ini, koc-koc yang tenggelam ketika banjir masih dalam kerja baik pulih dan sebahagiannya rosak teruk," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!