Pembangkang jangan jadi penghalang proklamasi darurat

Kamarudin Md Nor
Kamarudin Md Nor
A
A
A

PASIR MAS - Parti pembangkang diingatkan supaya tidak menjadi penghalang kepada proklamasi darurat yang sedang dikuatkuasakan kerajaan ketika ini.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, apa yang dilakukan kerajaan itu merupakan salah satu usaha dalam melawan pandemik Covid-19 yang masih belum reda.

"Kalau (pembangkang) tidak boleh nak tolong, jangan jadi penghalang. Lagipun darurat yang diumumkan ini bertempoh sehingga ke bulan Oktober," katanya ketika hadir pada Majlis Pembahagian Hasil Ladang Merdeka Meranti, Senor dan Bakong Bagi Musim 1/2020 di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kubang Bunut di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kempen tamatkan darurat yang sedang digerakkan pembangkang ketika ini.

Sementara itu, Kamarudin yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) berkata, tindakan pembangkang itu agak memeranjatkan memandangkan proklamasi darurat ketika ini tidak menghalang sebarang bentuk pergerakan dalam urusan harian.

Menurutnya, proklamasi darurat itu sebaliknya bertujuan untuk meredakan 'pertelagahan' politik supaya kerajaan dapat memberikan tumpuan melawan Covid-19.

"Ia secara langsung membolehkan kerajaan memulihkan ekonomi dan kesihatan rakyat.

"Rakyat kini dilihat lebih selesa untuk tidak berpolitik ketika negara sedang berperang dengan Covid-19," kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!