Para Sukma Perak 2018: Demam bukan halangan raih emas
Jariah bergambar dengan pingat emas yang dimenanginya dalam acara boling padang perseorangan wanita B7 (cacat anggota kaki) pada temasya Para Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Arena Lawn Ball hari ini. - Foto Bernama
A
A
A
Pada perlawanan akhir acara itu, Jariah yang pada mulanya ketinggalan 5-0 kepada lawannya dari Negeri Sembilan, Salmiah Zakaria, bangkit sebelum kedua-dua mereka terikat pada kedudukan 9-9.
Aksi konsisten Jariah yang juga merupakan atlet negara membuahkan hasil apabila dinobatkan juara selepas menewaskan Salmiah 16-11 untuk pingat perak.
Jariah, 44, ketika ditemui berkata, pada mulanya dia berasa sedikit terganggu akibat masalah kesihatan, namun pengalaman bermain sukan itu sejak 2002 membantunya meneruskan permainan dengan cemerlang biarpun ketinggalan jauh pada satu ketika.
"Saya memang mahu memiliki pingat emas pada temasya kali ini kerana saya tidak menyertai Sukma 2016 disebabkan kategori ini tidak dipertandingkan kerana kurang penyertaan untuk kategori B7.
"Jadi ini seperti 'balas dendam' untuk saya perolehi kemenangan dan saya terpaksa bekerja keras biarpun badan saya lemah kerana demam," katanya yang mengalami kecacatan kaki kiri akibat kemalangan motosikal pada tahun 1999.
Pingat gangsa acara itu dimenangi atlet Pahang, Maslina Zahari yang menewaskan atlet Perlis, Nor Wazila Yunus, 13-11.
Bagi acara perseorangan lelaki B6 (kecacatan kaki dan tangan), atlet Terengganu, Mohd Rafi Muda membawa pulang pingat emas selepas menewaskan atlet Perlis, Nor Firzan Mahmud, 19-12, untuk meraih pingat perak, manakala pingat gangsa dimiliki atlet Selangor, Mohamad Yusri Hafiz Mohd Shukri.
Bekas atlet negara, Hassan Yaacob yang mewakili Terengganu turut menyinar dalam acara perseorangan lelaki B7 (kecacatan kaki) selepas meraih emas menewaskan Abdul Hajis Nikman dari Labuan, 17-16, untuk memungut perak manakala pingat gangsa diraih atlet Negeri Sembilan, Husny Hussain.
Hassan, 58, yang mempunyai kecacatan kaki kiri akibat demam panas ketika berusia dua tahun berkata dia tidak menyangka dapat meraih emas kerana saingan hebat daripada peserta kontinjen lain sebelum memaksanya membuat strategi bagi memastikan setiap balingan menghasilkan kemenangan.
"Saya berasa risau kerana pernah ketinggalan 13-6 namun akhirnya berjaya memintas lawan dengan kedudukan 17-16. Alhamdulillah kemenangan ini ibarat menebus balik kekalahan saya pada peringkat suku akhir pada Sukma 2016 di Sarawak tempoh lalu," katanya yang mempunyai enam orang anak.
Acara perseorangan lelaki B8 (kecacatan tangan) pula menyaksikan atlet Pulau Pinang, Mohd Firdaus Abdul Rahman memungut pingat emas selepas menewaskan atlet tuan rumah, Mohamad Shuhairi Shahalil, 21-12, yang memungut pingat perak, manakala pingat gangsa dimiliki atlet Perlis, Akbar Kamis. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!