MyCC fokus penyiasatan penipuan tender kerajaan

Ismail Iskandar
Ismail Iskandar
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) kini memfokuskan penyiasatannya pada penipuan dalam tender kerajaan yang bernilai berbilion ringgit.

Menerusi laporan The Star, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Iskandar Ismail berkata, MyCC telah memulakan tindakan terhadap lapan syarikat teknologi maklumat yang didakwa terlibat dalam tender agensi kerajaan.

"Kami telah bekerjasama dengan beberapa badan kerajaan seperti Kementerian Kewangan dan yang terbaharu adalah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyingkirkan penyelewengan tersebut.

"Ini adalah pendekatan serampang dua mata dengan tujuan yang sama. Peranan kami adalah membantu agensi supaya berwaspada dan tidak menjadi sebahagian daripada kartel terbabit," katanya.

Mengulas lanjut, Iskandar berkata, MyCC menyasarkan pembelian tender dari agensi kerajaan bagi mencegah penipuan bidaan dalam proses tender dan membantu mengesan aktiviti-aktiviti kartel berkenaan.

Menurutnya, jika SPRM memberi tumpuan pada aktiviti korupsi antara individu yang terbabit dengan tender, maka peranan MyCC adalah memfokuskan kepada syarikat-syarikat yang berkonspirasi dalam kegiatan melakukan tender.

Iskandar berkata, sebagai contoh terdapat seorang individu boleh mengemukakan tender yang sama di bawah 10 syarikat yang berbeza.

“Sesetengahnya sangat jelas di mana kesalahan dan tandatangan palsu itu serupa,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, beberapa pembida juga bekerja secara serentak bagi memastikan mereka memenangi tender secara bergilir-gilir dan menjauhkan orang luar dari kartel mereka.

"Setakat ini, kami telah menyiasat ratusan perusahaan dan persatuan.

"Dari sana, kami menghasilkan banyak keputusan, janji, peringatan, arahan dan resolusi lain,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!