Kelulusan akademik cerminan daya fikir

Gambar sekadar hiasan. - Sumber foto: VectorStock.com
Gambar sekadar hiasan. - Sumber foto: VectorStock.com
A
A
A

Kemelut penggunaan ijazah palsu oleh individu bagi mendapatkan pekerjaan dan membangunkan kerjaya masa depan, termasuk dalam bidang politik, hangat dibincangkan kini di media-media cetak dan sosial.

Ia menjadi semakin panas apabila isu berkenaan membabitkan pemimpin politik Malaysia yang dilantik menjadi menteri dan timbalan menteri dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) sekarang. Paling menarik untuk difikir dan dibincangkan ialah mengenai pendapat yang mengatakan kejayaan seseorang itu dalam kerjaya masing-masing bukan semata-mata ditentukan berapa tinggi kelulusan akademiknya.

Sesetengahnya berpendapat, kejayaan seseorang dalam bidang pengurusan atau pentadbiran negara dan organisasi lain bergantung kepada pengalaman serta kemahiran masing-masing. Sebenarnya, kelayakan akademik, pengalaman dan kemahiran saling berkait rapat dengan pencapaian kerjaya seseorang.

Perdana menteri sememangnya mempunyai kuasa mutlak melantik seseorang menteri atau timbalan menteri dalam kerajaannya berdasarkan budi bicaranya sendiri. Bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Ghafar Baba tidak memiliki sebarang ijazah tetapi berjaya memegang jawatan berkenaan suatu masa dahulu ketika Tun Dr Mahathir Mohamed menjadi Perdana Menteri Keempat.

Namun begitu, Tun Ghafar adalah bekas guru lulusan Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Tanjung Malim, Perak dan pernah menjadi Naib Presiden Umno lebih 25 tahun. Ketika berlaku krisis politik dalaman UMNO, Tun Ghafar dinaikkan pangkatnya sebagai Timbalan Presiden UMNO sesuai dengan jawatan Timbalan Perdana Menteri yang disandangnya.

Sesuai dengan arus pentadbiran moden, ahli UMNO mahukan timbalan perdana menteri seorang berkelayakan akademik tinggi mendorong mereka menaikkan pula Datuk Seri Anwar Ibrahim menggantikan tempat Tun Ghafar.

Nilai kelayakan akademik Tun Ghafar ketika itu mungkin boleh disamakan dengan kelulusan ijazah dan diploma masa kini. Bagaimanapun, tanggapan sedemikian sudah tidak boleh diaplikasikan pada zaman ini kerana rakyat berkelulusan tinggi semakin ramai. Mereka yang berkelulusan tinggi dianggap lebih berkualiti dalam pentadbiran kerajaan mahu pun swasta.

Apa pun yang diperkatakan sekarang ini tentang ijazah palsu, ia perlu diambil perhatian serius berasaskan beberapa faktor kerana rakyat semakin celik terhadap kepentingan pendidikan akademik dan kerjaya. Mereka beranggapan bahawa semakin tinggi kelulusan akademik seseorang, semakin tinggilah ilmu dan daya fikirnya. Tambahan pula ia menjadi seorang pemimpin tertinggi kerajaan yang lazimnya perlukan daya fikir menjangkau jauh ke hadapan bagi memacu pembangunan negara.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan disarankan melakukan pemantauan yang lebih kemas bagi memastikan tidak ada rakyat di negara ini menggunakan ijazah palsu bagi tujuan tertentu. Dengan menggunakan teknologi terkini pelbagai cara pihak tertentu mendapatkan ijazah palsu dengan cara lebih mudah tanpa berusaha dengan bersungguh-sungguh sebagaimana yang dilakukan graduan terdahulu.

Seseorang itu mungkin boleh mengupah pensyarah di institusi pengajian tinggi (IPT) yang sanggup menulis dan mengambil upah menyiapkan tesisnya di peringkat ijazah sarjana dan doktor falsafah dengan hanya menggunakan wang. Calon pelajar terbabit hanya perlu hadir ketika membentangkan penulisan akhir tesis berkenaan.

Sesetengah universiti luar negara menawarkan pengajian ijazah dalam tempoh singkat atas talian tanpa perlu hadir mengikuti kuliah secara fizikal. Saya mencadangkan majikan yang mahu mengambil seseorang pekerja berkelulusan ijazah dikehendaki menyemak terlebih dahulu transkrip yang dibawa ketika temu duga dengan institusi pendidikan yang mengeluarkannya bagi mengelakkan gejala pemalsuan ini terus berleluasa.

Pemantauan yang lemah mendorong mereka yang tidak berkelayakan secara tulen menyalahgunakan peluang menipu bagi merosakkan struktur ekonomi, politik dan sosial negara ini suatu masa nanti. Pemalsuan ijazah turut akan menjejaskan imej pendidikan negara ini di mata masyarakat dunia, terutama dalam kalangan pelajar luar yang menuntut di sini. Jangan pandang remeh dan mudah isu ini sebelum negara ini menjadi punah-ranah hasil kelalaian kita sendiri.

* Penulis berkelulusan PhD Sains Politik Universiti Utara Malaysia (UUM)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!