Pekerja asing terlibat boleh dapat manfaat Perkeso

Laporan mengenai kejadian pada 22 Mac lalu.
Laporan mengenai kejadian pada 22 Mac lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pekerja asing yang mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) layak mendapat manfaat di bawah agensi itu sekiranya mereka terlibat dalam kemalangan ketika bekerja, kata Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz.

Berikutan itu, Mohammed Azman berkata, Perkeso kini sedang mengenal pasti waris pekerja warga asing yang terlibat dalam insiden di Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Jalan Alam Damai, Cheras, Isnin lepas untuk proses pembayaran manfaat.

“Perkeso tidak menunggu waris mangsa datang (ke Perkeso) untuk proses tuntutan sebaliknya Skuad Perkeso Prihatin yang turun padang mendapatkan butiran mangsa untuk bayaran,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Mini Karnival PenjanaKerjaya Kementerian Sumber Manusia untuk orang kurang upaya (OKU) di Wisma Perkeso di sini pada Rabu.

Jelasnya, pekerja asing yang mencarum dengan Perkeso layak mendapat faedah di bawah Skim Bencana Pekerjaan Pekerja Asing dan jika melibatkan kematian, waris boleh menuntut Faedah Orang Tanggungan.

Dalam kejadian pagi Isnin lepas, tiga lelaki warga China maut, manakala seorang rakyat tempatan cedera parah selepas komponen kren pembinaan projek Lebuh Raya SUKE terjatuh dan menghempap sebuah kereta Perodua Bezza dari ketinggian 120 kaki.

Sementara itu, menyentuh tentang mini karnival selama satu hari itu, Mohammed Azman berkata program tersebut dilaksanakan khusus bagi golongan OKU untuk mendapatkan pekerjaan secara temu duga terbuka.

Beliau berkata sebanyak 659 kekosongan jawatan ditawarkan oleh sembilan majikan yang menyertai karnival itu, meliputi beberapa bidang termasuk sektor perkhidmatan pelanggan.

Pada masa yang sama, rata-rata individu OKU yang ditemui berpuas hati dengan penganjuran karnival itu yang dilihat dapat membantu mereka untuk mendapatkan pekerjaan terutamanya dalam keadaan negara masih berdepan impak penularan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Bagi individu kurang upaya fizikal K Hima Koles Sri, 22, berkata program itu membuka peluang pekerjaan untuknya kerana sebelum ini kebanyakan majikan yang ditemui tidak mahu menggajikan pekerja dalam kalangan OKU.

“Hari ini, ada majikan yang mahukan pekerja OKU...saya harap lagi banyak majikan cari pekerja OKU dan tidak pandang rendah pada kami,” katanya.

Lam Wei Lip, 42, yang kehilangan pekerjaan susulan Impak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pula berkata, bukan sahaja pekerjaan, malah calon yang hadir untuk program itu turut diberi pendedahan awal bagi menghadapi proses temu duga dan kemahiran komunikasi.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!