Mangsa terakhir lemas di Pantai Batu Layar ditemui
KOTA TINGGI - Mangsa terakhir dalam kejadian lemas di Pantai Batu Layar di sini pada Selasa berjaya ditemui berhampiran lokasi kejadian pada petang Rabu.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, mayat Muhammad Hibatullah Hakim Razak, 23, ditemui terapung pada jam 3.27 petang.
"Sebaik mendapat maklumat itu, sebuah bot diatur gerak ke tempat kejadian. Mayat mangsa dibawa ke jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tanjung Sepang untuk diserahkan kepada polis, sebelum dihantar ke Hospital Kota Tinggi bagi tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Pada Selasa, Sinar Harian menyiarkan kejadian dua sahabat yang lemas setelah ditarik arus sewaktu mandi di Pantai Batu Layar.
Dalam kejadian itu, Muhamad Hariz Farhat Omar, 23, berjaya ditemui orang awam namun disahkan meninggal dunia, manakala rakannya iaitu Muhammad Hibatullah Hakim masih belum dijumpai.
Sementara itu, Nurul Hizam turut menasihatkan orang ramai dan komuniti maritim supaya mengutamakan keselamatan, cakna dengan perubahan cuaca serta keadaan semasa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!