Akhlak tinggi, semangat perpaduan Islam ramuan capai kemenangan
SHAH ALAM - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan akhlak yang tinggi dan semangat perpaduan saudara Islam adalah ramuan penting bagi mencapai sesuatu kemenangan.
Menurutnya, kenyataan itu berpandukan sejarah kedatangan Islam di Melaka melalui pedagang dan saudagar Muslim.
“Mereka bukan ahli pidato yang berapi, tetapi mereka mendirikan solat dan berniaga dengan akhlak Islam. Mereka tunjukkan integriti dan akhlak yang tinggi. Itulah ramuan pertama.
“Ramuan kedua, jangan berpecah, selesaikan masalah dengan semangat persaudaraan Islam dan bersatu padu,” katanya melalui siaran di Facebooknya pada Rabu.
Beliau berkata demikian dalam sesi libat urus bersama badan perhubungan Pas negeri Melaka pada Selasa.
Sementara itu, Abdul Hadi berkata, berjemaah dan beruzlah adalah asas penting bagi membina kekuatan syakhsiah yang tinggi.
“Berjemaah dengan hadirkan diri ke usrah, mesyuarat dan kegiatan jemaah. Jangan bergerak seorang diri, mesti berjemaah kerana kita ada kelemahan dan untuk melindungi diri daripada bisikan syaitan yang sentiasa menghasut kepada kejahatan.
“Beruzlah dengan bertahajjud dan mendekatkan diri kepada Tuhan sehingga cabaran dunia dianggap kecil sahaja. Bukan beruzlah selama-lamanya sehingga putus dengan jemaah,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!