BAM perlu realistik

Roslin menyifatkan Zii Jia masih menjadi sandaran terbaik negara bagi merealisasikan harapan pingat emas acara badminton di Hanoi pada hujung tahun ini.
Roslin menyifatkan Zii Jia masih menjadi sandaran terbaik negara bagi merealisasikan harapan pingat emas acara badminton di Hanoi pada hujung tahun ini.
A
A
A

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) digesa meletakkan sasaran pingat emas pada Sukan SEA Vietnam 2021 jika berhasrat menghantar pemain remaja dan pelapis ke Hanoi, Vietnam hujung tahun ini.

Bekas pemain perseorangan negara, Roslin Hashim berkata, keputusan BAM yang tidak akan menghantar barisan pemain utama termasuk juara Seluruh England, Lee Zii Jia telah mengundang pelbagai persepsi dalam kalangan peminat badminton negara.

“Persoalan saya dalam isu ini, adakah BAM sasarkan pingat emas atau tidak pada Sukan SEA di Hanoi nanti. Kalau ada target, maka BAM kenalah bawa barisan pemain negara terbaik.

“BAM kena serius dalam isu ini kerana jika mahu memberi pendedahan kepada pemain muda dan pelapis, tiada masalah tetapi janganlah hantar semua pemain muda atau pelapis kerana kena ada target untuk pingat emas.

“BAM kena realistik jika mereka meletakkan sasaran pingat emas di Hanoi, sudah tentu kita sandarkan harapan kepada Zii Jia dan beregu lelaki, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik," katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Pada Selasa, Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh memaklumkan, barisan pemain remaja dan pelapis diberikan kepercayaan untuk menggalas cabaran skuad negara ke Hanoi.

Keputusan itu diambil kerana BAM mahu pemain utama negara memberikan tumpuan dalam empat kejohanan besar tahun ini - Sukan Olimpik Tokyo 2020, Piala Thomas/ Uber di Denmark, Kejohanan Dunia di Sepanyol dan Piala Sudirman di China.

Roslin turut menyuarakan kebimbangan kemampuan skuad badminton negara untuk mempertahankan tiga pingat emas yang dimenangi pada Sukan SEA 2019 di Filipina jika BAM menagih kudrat pemain remaja dan pelapis.

Artikel Berkaitan:

“Sepatutnya kita berusaha mengekalkan tiga pingat emas dan tambah baik jika berjaya bawa pulang empat emas. Tidak beri kesan pun apabila BAM hantar pemain senior ke Sukan SEA walaupun tumpuan diberikan kepada kejohanan besar.

“Saya percaya pesaing utama Malaysia, Indonesia pasti akan mengambil iktibar daripada Sukan SEA di Filipina apabila menghantar barisan pemain muda sehingga menyebabkan mereka kehilangan peluang meraih pingat emas," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!