Bila jari lebih pantas daripada otak
MENURUT Laporan Digital 2018 yang dikeluarkan Hootsuit dan We Are Social, jumlah pengguna internet di negara ini menunjukkan peningkatan kepada 25.08 juta pengguna, mewakili 79 peratus penduduk Malaysia.
Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 75 peratus menggunakan perkhidmatan media sosial dan memperuntukkan purata tiga jam sehari di laman media sosial.
Laporan berkenaan turut mendedahkan Malaysia sebagai negara ke-9 dunia paling aktif di laman sosial.
Media sosial kini menjadi platform yang sangat popular kerana mudah diakses tidak kira di mana berada selain tidak mengenakan sebarang caj untuk sesiapa sahaja menyuarakan pendapat.
Malangnya, media sosial tidak digunakan dengan baik oleh segelintir rakyat Malaysia yang terkenal dengan sopan santun serta budi bahasa yang tinggi.
Sebagai pengamal media, saya menghormati komen-komen yang diberikan di media sosial sebagai meraikan kepelbagaian pendapat asalkan tidak melampaui batas dan tidak menghina.
Saya faham kadang-kala ada yang berniat untuk bergurau. Tiada masalah.
Media sosial ini terbuka sifatnya tapi jangan keterlaluan.
Fungsi media sosial juga adalah untuk kita bergaul di alam maya.
Seperti pergaulan di dunia sebenar, ada masa-masanya kita perlu berjenaka dan menikmati persahabatan. Tidak perlu terlalu serius.
Tetapi adakalanya komen yang diberikan oleh netizen seolah-olah ‘jari yang lebih pantas daripada otak’.
Amat membimbangkan jika perkara ini diterima sebagai satu norma baru dan budaya bagi masyarakat Malaysia dalam media sosial.
Kerana komen pembaca, sebuah portal berita didenda RM500,000 kerana kesalahan menghina mahkamah.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) juga mengambil tindakan terhadap 48 pertuduhan yang difailkan di mahkamah berkaitan penyalahgunaan media sosial pada tahun 2020.
Sesiapa sahaja boleh terlibat dalam memberikan komen jelik ini.
Mereka bukannya tidak berakal, tetapi berakal singkat. Ramai yang menulis tanpa banyak berfikir tetapi dikuasai emosi.
Baru-baru ini viral di media sosial satu tangkap layar ciapan seorang individu di Twitter yang menghina sebuah akhbar dan wartawan sebagai ‘sampah’.
Walhal hubungan syarikat tempat individu itu bertugas dan agensi akhbar begitu akrab.
Tindakan individu tersebut menyebabkan ramai wartawan dan editor yang tersinggung.Inilah yang dikatakan jari bertindak lebih pantas daripada otak.
Individu yang memberikan komen itu bukan sebarangan tetapi bergelar doktor dan mempunyai kelulusan profesional pada pangkal namanya, malah berjawatan besar di sebuah syarikat korporat.
Walaupun hinaan itu bukan kepada saya tetapi ibarat cubit paha kanan, paha kiri terasa sakit juga. Sekiranya individu tersebut menggunakan otak, dia tidak akan membuat komen jelik seperti itu.
Sebelum ini, seorang bekas menteri juga pernah memanggil wartawan sebagai sampah dan sekarang dia sudah menjadi sejarah. Bila hati sudah terluka, maaf sudah tidak bermakna lagi.
Kita perlu mengubah paradigma, komen bila perlu dan berfikir sebelum komen.
Sebarang komen ataupun paparan yang ingin dimuat naik perlu difikir secara semasak-masaknya kerana apa yang dimuat naik dalam media sosial nanti, tidak boleh ditarik balik.
Paling penting, jangan jadikan media sosial sebagai tempat melepaskan geram.
Dari aspek perundangan, pengguna media sosial juga perlu bersedia berhadapan dengan tindakan undang-undang sekiranya memuat naik sesuatu komen yang menyalahi undang-undang.
Atau, apakah mereka sebenarnya memang tidak kisah akan kesan dan implikasi perbuatan mereka itu?
Melihat kepada masalah penyalahgunaan media sosial yang tidak berkesudahan, pendekatan pendidikan merupakan jalan terbaik untuk mendidik rakyat menjadi seorang pengguna media sosial yang berhemah.
Namun semuanya ini banyak bergantung kepada tahap disiplin pengguna. Bak kata pepatah, hendak seribu daya tak hendak seribu dalih.
Mahu guna pisau untuk memotong sayur atau membunuh? Begitulah dengan media sosial. Pilihan di tangan pengguna.
* Azmi Tarmizi ialah Pengarang Eksekutif Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!