Rekod lebih dua juta individu terkait jenayah sudah dikemas kini
KUALA LUMPUR - Rekod lebih dua juta individu yang dikaitkan dengan pelbagai jenayah sudah dikemas kini, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.
Abdul Hamid berkata sebelum ini, rekod individu-individu berkenaan tidak dapat dikemas kini dalam sistem data agensi itu disebabkan beberapa kekangan termasuk masalah sistem pengisian maklumat dan teknikal.
“Ia ditambah lagi dengan pegawai atau anggota bertanggungjawab mengisi maklumat itu ada yang sudah tamat berkhidmat ataupun bertukar jawatan ke tempat lain,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Abdul Hamid berkata dengan siapnya pengemaskinian rekod itu 100 peratus, ia akan memudahkan urusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat semakan rekod jenayah individu sama ada untuk kegunaan PDRM atau agensi kerajaan lain.
“Hikmahnya apabila diminta membuat semakan ke atas mana-mana individu yang ingin memohon pekerjaan, rekod itu boleh diberikan PDRM kerana semuanya sudah terpapar di dalam komputer,” katanya.
Beliau memberi contoh, jika pihak Wisma Putra meminta PDRM membuat semakan ke atas 1,000 nama individu, kesemuanya dapat dilaksana dengan mengaplikasikan proses ‘data crunching’.
“Sekiranya perlu, untuk tahu individu itu ditangkap atas kes apa semuanya boleh disemak menerusi fail yang dikemas kini. Kami juga boleh bertanya kepada pegawai penyiasat apa yang terjadi berhubung kes dikendalikannya secara lebih lanjut,” katanya.
Abdul Hamid berkata mana-mana individu yang mempunyai kesalahan jenayah tidak akan terlepas daripada namanya disenaraikan dalam rekod.
“Cuba bayangkan jika ada individu itu diambil berkerja sedangkan dia rupa-rupanya seorang tokan dadah jadi perkara itu perlu dielakkan,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!