'Kami tak lemah, malah kekal utuh'
IPOH - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ipoh Barat tidak akan lemah malah kekal utuh susulan tindakan bekas ahli parti cabang berkenaan mengumumkan penyertaan ke dalam Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Ipoh Barat, A Tines berkata, tindakan individu mengisytihar mereka keluar parti itu tidak langsung menjejaskan keahlian anak muda di negeri ini untuk menyertai PKR.
Menurutnya, di sebalik tindakan itu, PKR Cabang Ipoh Barat akan diperkukuhkan dengan kehadiran lebih ramai anak muda berkualiti yang bermoral tinggi.
"Perkembangan politik semasa yang berlaku menambah minat anak muda untuk menolak pengkhianatan dengan menyertai parti ini. Kita kini lebih bersemangat apabila tindakan ahli yang keluar ini, sekali gus dapat membersihkan parti.
"Kami sebagai ahli yang setia ini akan kekal teguh bersama kepimpinan cabang, negeri dan pusat untuk memastikan parti terus diperkukuh," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai tindakan 300 individu mendakwa bekas ahli PKR Cabang Ipoh Barat menyertai Gerakan pada Rabu.
[Artikel berkaitan: https://www.sinarharian.com.my/article/130029/BERITA/Politik/300-bekas-ahli-PKR-sertai-Gerakan
Sementara itu, Tines berkata, tindakan keluar parti itu ia tidak sekali-kali melumpuhkan organisasi kerana PKR Cabang Ipoh Barat mempunyai ramai pimpinan muda yang berkualiti.
Menurutnya, AMK akan terus bergerak mendekati anak muda dalam pelbagai medium, sekali gus membuktikan bahawa PKR sangat menghargai golongan tersebut.
Justeru, katanya, golongan muda tidak harus diketepikan dalam politik arus perdana agar lebih ramai pemimpin muda dapat dilahirkan sebagai pelapis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!