PKR Ipoh Barat lapor polis nafi 300 anggota keluar parti

Ramesh (dua dari kiri) selepas membuat laporan polis di IPD Ipoh di sini pada Khamis.
Ramesh (dua dari kiri) selepas membuat laporan polis di IPD Ipoh di sini pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Ipoh Barat membuat laporan polis menafikan dakwaan 300 ahli parti itu akan keluar menyertai Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini pada Khamis.

Setiausahanya, Ramesh Roy berkata, dakwaan tersebut dikemukakan tanpa bukti kukuh dan PKR Cabang Ipoh Barat bimbang berlaku penipuan serta salah guna data peribadi anggota parti tanpa pengetahuan mereka.

Menurutnya, berdasarkan semakan dibuat tidak ada sebarang surat diterima oleh cabang tersebut berkaitan surat peletakan jawatan mahupun surat perlucutan keanggotaan dari parti.

"Kita menafikan sekeras-kerasnya dakwaan terbabit dan kami memandang serius perkara ini memandangkan tiada sebarang bukti dikemukakan bahawa mereka yang keluar itu merupakan ahli PKR.

"Kami menganggap kenyataan media yang dikeluarkan semalam (Rabu) sebagai satu penipuan dan penyalahgunaan media, data peribadi anggota parti yang disalah guna tanpa pengetahuan.

"Jadi laporan polis yang kami buat ini untuk membuat penafian serta mempertahankan maklumat peribadi anggota parti kami agar tidak disalah guna," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di IPD Ipoh di sini pada Khamis.

Hadir sama membuat laporan tersebut, Bendahari PKR Cabang Ipoh Barat, Y Selva Kumar dan beberapa pimpinan cabang tersebut.

Sementara itu, Ramesh turut mengesahkan individu yang mewakili bekas ahli PKR Cabang Ipoh Barat yang menyerahkan borang keahlian Gerakan pada Rabu iaitu Alfaizal Shahul Hamid merupakan bekas anggota parti.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, bagaimanapun, keahlian individu terbabit sudah dilucutkan pada 3 Jun lalu bersama tiga lagi ahli PKR Cabang Ipoh Barat.

Pada Rabu, Alfaizal Shahul Hamid, 44, yang mewakili kumpulan bekas ahli PKR itu menyerahkan kira-kira 50 borang keahlian Gerakan kepada Pengerusi Gerakan Perak, Datuk See Tean Seng ketika sidang akhbar di Pejabat Gerakan Perak.

Ketika sidang akhbar itu, dia turut mengumumkan bahawa 300 lagi bekas ahli PKR Cabang Ipoh Barat akan menyerahkan borang menyertai Gerakan secara berperingkat.

ARTIKEL BERKAITAN: 300 bekas ahli PKR sertai Gerakan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!