Suami cedera ditetak isteri

Sebilah pisau pemotong yang dirampas untuk siasatan lanjut dalam kejadian di Taman Sri Andalas, Klang, Sabtu lalu. (Gambar kecil: Shamsul Amar Ramli )
Sebilah pisau pemotong yang dirampas untuk siasatan lanjut dalam kejadian di Taman Sri Andalas, Klang, Sabtu lalu. (Gambar kecil: Shamsul Amar Ramli )
A
A
A

KLANG - Seorang lelaki dikejarkan ke hospital selepas cedera diserang isterinya yang bersenjatakan pisau akibat perselisihan faham dalam kejadian di Taman Sri Andalas, di sini pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu dipercayai berlaku kerana wanita berusia 48 tahun terbabit sering memarahi suaminya dengan perkataan kesat.

Menurutnya, wanita terbabit juga memukul anak perempuan mereka yang berumur 10 tahun.

"Semasa suspek memukul anak perempuannya, mangsa (suami) cuba menghalang dan bertindak menampar suspek.

"Suspek berasa tidak berpuas hati lalu menyerang mangsa dengan menggunakan sebilah pisau pemotong di bahagian siku dan lengan tangan kiri mangsa," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata, kejadian itu menyebabkan mangsa berusia 45 tahun dirawat di Hospital Pantai Klang akibat mengalami patah di lengan kiri selain menerima enam jahitan di bahagian siku.

Tambahnya, bertindak hasil laporan yang dibuat abang mangsa, polis telah menahan isteri mangsa kira-kira jam 7 petang pada Selasa di Klang.

Katanya, suspek kemudian telah direman dua hari untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 352A Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!