Polis Kelantan tak sekat rezeki peniaga jalanan
KOTA BHARU - Polis Kelantan bukan mahu menyekat rezeki peniaga di persimpangan lampu isyarat di negeri ini, namun tindakan tersebut membahayakan nyawa banyak pihak.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, perkara itu harus difahami semua dan pihaknya telah mengambil pendekatan memberikan nasihat sejak sebulan lalu kepada peniaga terlibat.
Menurutnya, menerusi nasihat itu polis juga sudah memberi peluang kepada peniaga untuk membuat persediaan selain menukar corak perniagaan lebih sesuai berbanding berniaga di jalanan yang ternyata menyalahi undang-undang.
"Kami telah memberi pertimbangan yang sewajarnya. Cuma nasihat saya kepada orang ramai, sama-samalah kita mendidik sebenarnya. Kalau nak ambil tindakan saman, hari-hari polis boleh buat.
"Saya faham dalam kekangan ekonomi hari ini, memang masing-masing nak cari duit, namun jangan sampai membahayakan peniaga dan pengguna yang lain," katanya kepada pemberita pada Khamis.
Beliau ditemui selepas mengadakan Sambutan Peringatan Hari Polis ke 214 peringkat Kontinjen Kelantan di Dewan Dato' Dr Abdul Rahman yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Kelantan, Abdullah Muhammad Piah.
Pada majlis tersebut Shafien turut menyampaikan sijil penghargaan kepada 23 pengamal media termasuk Ketua Wartawan Sinar Harian, Rosmiza Kasim dan Wartawan, Hazelen Liana Kamaruddin selain pemakaian pangkat kepada pegawai.
Shafien berkata, sebelum ini pihaknya juga mendapat aduan daripada orang ramai berhubung bahayanya aktiviti jual beli di persimpangan lampu isyarat.
Katanya, setelah nasihat diberikan didapati beberapa hari kebelakangan ini kelibat anak muda yang berniaga di persimpangan lampu isyarat sudah berkurangan berbanding sebelum ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!