Dua beranak ditahan miliki 9.32kg dadah

Abd Jalil (dua dari kiri) dan Mohd Yusri (dua dari kanan) menunjukkan bungkusan teh berisi syabu dan wang tunai yang dirampas susulan penahanan dua beranak di Bentong, Ahad lalu
Abd Jalil (dua dari kiri) dan Mohd Yusri (dua dari kanan) menunjukkan bungkusan teh berisi syabu dan wang tunai yang dirampas susulan penahanan dua beranak di Bentong, Ahad lalu
A
A
A

KUANTAN - Dua beranak disyaki dalang sindiket pengedaran dadah di negeri ini ditahan dalam satu serbuan di sebuah stesen minyak di Jalan Bentong-Karak, dekat Bentong pada malam Ahad lalu.

Susulan penahanan suspek berusia 58 dan 28 tahun itu, polis menemui dan merampas dadah jenis syabu seberat 9.32 kilogram yang dianggarkan bernilai RM360,000.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, berdasarkan maklumat awam, sepasukan anggota telah melakukan serbuan dan berjaya menahan kedua-dua suspek yang berada dalam sebuah kereta di lokasi tersebut.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas kereta digunakan membawa kepada penemuan karung berisi 10 bungkusan teh mengandungi dadah jenis syabu.

"Hasil siasatan lanjut, pihak polis telah merampas wang tunai RM40,000 dan tiga kenderaan, termasuk sebuah kenderaan mewah jenis Toyota Villfire disyaki diperoleh hasil aktiviti pengedaran dadah.

"Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan bernilai lebih RM660,000," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini pada Khamis.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri, Superintendan Mohd Azam Ab Razak.

Abd Jalil berkata, suspek dipercayai mendapat bekalan dadah dari Lembah Klang dan bergiat aktif mengedar bahan terlarang itu di negeri ini sejak dua bulan lalu.

Artikel Berkaitan:

"Bekalan dadah itu mampu diedarkan kepada lebih 18,600 penagih sekiranya terlepas keluar," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga Ahad ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati dua beranak itu negatif dadah namun berdasarkan semakan rekod, kedua-duanya mempunyai rekod lampau berkait dadah dan jenayah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!