Polis Pulau Pinang rampas dadah RM33 juta tempoh 2 bulan

Shahabudin menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang anggota pada Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-214 di IPK pada Khamis.
Shahabudin menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang anggota pada Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-214 di IPK pada Khamis.
A
A
A

GEORGETOWN - Polis Pulau Pinang berjaya merampas pelbagai jenis dadah dengan nilai keseluruhan RM33 juta dalam tempoh dua bulan bagi tahun ini di negeri ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang itu menunjukkan peningkatan berbanding keseluruhan rampasan dadah bernilai kira-kira RM43.7 juta sepanjang tahun lalu.

Menurutnya, dalam tempoh sama, polis juga berjaya menahan 1,271 individu untuk membantu siasatan.

"Sepanjang tahun lalu, operasi sama berjaya menahan seramai 8,633 orang membabitkan 6,574 kes yang dibuka untuk siasatan.

"Statistik pencapaian tangkapan di bawah 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi tahun lalu adalah sebanyak 356 dengan sabitan sebanyak 185 kes menjadikan peratusan 100.28 peratus iaitu melebihi sasaran yang ditetapkan," katanya ketika ditemui selepas Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-214 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini pada Khamis.

Tambahnya, sepanjang tahun lalu, pihaknya berjaya menahan 34 individu termasuk warga China melibatkan kes pelaburan tidak wujud, sindiket keldai akaun dan tipu nombor ramalan.

"Bagi jenayah-jenayah tersebut, ia melibatkan 2,456 kes yang dilaporkan dan dibuka kertas siasatan sepanjang tahun lalu melibatkan kerugian lebih RM181 juta.

"Jabatan Siasatan Jenayah IPK Pulau Pinang telah menahan 4,960 dengan kadar penyelesaian kes adalah 40 peratus.

Artikel Berkaitan:

"Bagi tindakan operasi untuk semua jenis perjudian, polis menjalankan 1,019 serbuan dengan jumlah tangkapan seramai 1,525 orang dengan rampasan sebanyak RM523,101," katanya.

Shahabudin berkata, seramai 143 individu ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan [Langkah-langkah Khas] (SOSMA).

"Seramai 67 suspek ditahan di bawah Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran 2007 (Atipsom) dan kita berjaya menyelamatkan seramai 190 mangsa dalam tempoh dua tahun ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Shahabudin berkata, sebanyak 40 kes pengaduan awam terhadap pegawai serta anggota Polis Pulau Pinang telah diterima.

"Kesemua kes ini telah dibuka kertas siasatan tatatertib.

"Saya tidak akan berkompromi dalam isu integriti dan pematuhan standard Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap pegawai serta anggota yang didapati bersalah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!