Kilang proses kayu tanpa lesen diserbu
KUALA KANGSAR - Sebuah kilang berasaskan kayu di Kati di sini diserbu pasukan penguat kuasa Jabatan Perhutanan negeri selepas didapati beroperasi tanpa lesen yang sah.
Operasi sehingga jam 3 petang pada Rabu itu turut menahan dua lelaki tempatan serta merampas beberapa peralatan digunakan bagi memproses kayu.
Pengarah Perhutanan Perak, Datuk Mohamed Zin Yusop berkata, pemeriksaan dilakukan mendapati, kilang berkenaan tidak memiliki lesen yang sah di bawah Enakmen Industri Berasaskan Kayu dari Jabatan Perhutanan Negeri Perak.
"Semasa operasi tersebut, pasukan penguatkuasa berjaya menahan dua lelaki yang berada di dalam premis tersebut.
"Kedua-dua mereka dibawa ke Balai Polis Kuala Kangsar bagi tujuan siasatan dalam tempoh 24 jam sebelum bon jaminan polis dikeluarkan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, sitaan serta-merta turut dilakukan terhadap sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux serta muatan kayu getah dan durian.
"Turut disita lima mesin bandsaw, dua crosscut, tiga compressor dan sebuah mesin planer bagi kegunaan pemprosesan kayu-kayu getah dan kayu hutan lain di kilang terbabit.
"Semua sitaan telah dipindahkan ke stor rampasan Sungai Siput (U) untuk siasatan lanjut," katanya.
Mohamed Zin berkata, operasi dan rondaan ke atas orang awam dan premis akan terus dipergiat walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!