Kursus kepolisan ditambah baik berdepan jenayah alaf baharu

Hasanuddin memeriksa kawalan kehormatan 51 anggota dan dua pegawai diketuai Asisten Superintendan Azmirul Abdul Aziz sempena sambutan peringatan Hari Polis ke-214 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah. - FOTO: Polis Kedah
Hasanuddin memeriksa kawalan kehormatan 51 anggota dan dua pegawai diketuai Asisten Superintendan Azmirul Abdul Aziz sempena sambutan peringatan Hari Polis ke-214 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah. - FOTO: Polis Kedah
A
A
A

ALOR SETAR - Latihan dan kursus kepolisan sentiasa ditambah baik agar relevan dengan jenayah alaf baharu bagi meningkatkan kecekapan dan kepercayaan masyarakat terhadap pasukan keselamatan itu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, ini kerana tugas Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjaga keselamatan negara kini semakin mencabar terutama dalam era Revolusi Industri 4.0 (IR4).

Menurutnya, sistem latihan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) sentiasa relevan sepanjang masa dalam meningkatkan kecekapan anggota berdepan jenayah seperti jenayah siber dan scammer.

“Dulu semua ini tiada, sekarang banyak kes membabitkan jenayah alaf baharu.

"Oleh itu, kursus diberikan juga ditambah baik untuk disesuaikan dengan situasi jenayah semasa,” katanya ketika menyampaikan amanat kepada anggota PDRM Kedah sempena sambutan peringatan Hari Polis ke-214 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah (IPK) pada Khamis.

Hasanuddin berkata, anggota kini bukan sahaja berhadapan dengan jenayah konvensional malah ancaman pengganas.

“Ini termasuk menangani wabak Covid-19 yang merupakan cabaran terbaharu PDRM.

"Virus ini adalah ‘musuh’ atau ancaman yang tidak dapat dilihat serta dihidu, ia mempunyai cabaran tersendiri kerana berbeza dengan penugasan menangani kes jenayah dan dadah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, selain aspek penguatkuasaan, polis juga bertanggungjawab mendidik masyarakat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

“Walau apa jua cabaran, anggota polis harus sentiasa siap siaga mengharungi segala bentuk ancaman dan musuh negara.

"Ini termasuk menangani kadar jenayah dan masalah sosial yang meningkat akibat krisis ekonomi global. Ramai pekerja diberhentikan menambahkan lagi kadar pengangguran dan masalah kewangan. Jika warga PDRM tidak beri perhatian kepada permasalahan ini, keyakinan rakyat terhadap PDRM akan terhakis,” katanya.

Beliau berkata, walaupun PDRM berdepan pelbagai kekurangan dari sudut logistik, sumber manusia dan cabaran persekitaran, ia bukan alasan untuk tidak menunaikan tanggung jawab diamanahkan.

“Kita mahu anggota yang mementingkan integriti dan berkemahiran tinggi supaya mereka lebih kental menghadapi cabaran. Setiap warga PDRM hendaklah melengkapkan diri dengan pengetahuan undang-undang, mematuhi prosedur kerja serta arahan pentadbiran,” katanya.

Hasanuddin turut berpesan agar anggotanya bertindak mengikut lunas undang-undang dan jangan sesekali mengambil tindakan melangkaui peruntukan undang-undang.

“Kita perlu menguatkuasakan undang-undang tanpa disempadani fahaman politik, bangsa, keturunan, agama atau budaya,” katanya.

Katanya, pihaknya juga mahu usaha pengumpulan risikan bagi menumpaskan kegiatan penjenayah dipertingkatkan lagi.

“Pendekatan bersepadu bersama masyarakat perlu digiatkan untuk menarik minat mereka menyertai 'community policing' bagi mewujudkan persekitaran bebas jenayah. Ia dapat menambahkan keyakinan masyarakat terhadap PDRM,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya yakin kepercayaan masyarakat terhadap polis tetap utuh apabila ramai tampil menyalurkan maklumat berkaitan jenayah menerusi pelbagai saluran.

“Setakat ini, kerjasama memberangsangkan apabila maklumat disalurkan aktif sama ada menerusi Malaysia Emergency Response Services (MERS) 999, surat, aplikasi WhatsApp atau Facebook rasmi polis Kedah,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!