Naluri saya merasakan Angah masih hidup: Ibu

Mohamad Zulkarnain antara enam pemancing dikhuatiri hilang di Perairan Kemaman selepas terputus hubungan sejak Selasa.
Mohamad Zulkarnain antara enam pemancing dikhuatiri hilang di Perairan Kemaman selepas terputus hubungan sejak Selasa.
A
A
A

KEMAMAN - [DIKEMASKINI] Keluarga enam pemancing yang hilang setelah turun ke laut empat hari lalu berharap kesemua mangsa dapat pulang dan ditemukan dalam keadaan selamat.

Aziam Ezawatie Fauzi, 38, yang merupakan ibu kepada Mohamad Zulkarnain Mohamat Nor, 20, berkata, beliau meletakkan sepenuh harapan pada takdir dan kekuasaan ALLAH SWT, namun pada masa sama tidak putus berusaha dan berdoa agar anak keduanya yang digelar 'Angah' segera ditemui.

"Naluri seorang ibu kuat mengatakan bahawa Angah masih ada. Ya, saya yakin dia masih hidup cuma mungkin dia tersesat tidak jumpa jalan pulang.

"Apapun pengakhirannya nanti, sebagai ibu saya tidak putus berdoa, sembahyang hajat dan menyerahkan sepenuhnya kepada kekuasaan ALLAH SWT.

"Hati ibu mana yang tidak gusar, lebih-lebih lagi dalam keadaan ombak dan angin laut yang begitu kuat sekarang," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Menurut Aziam Ezawatie, kali terakhir dia bertemu anaknya itu pada Sabtu minggu lalu kerana tiada di rumah disebabkan terpaksa menyelesaikan urusan di daerah Paka.

"Saya tiada di rumah di Kampung Gong Pauh, di sini ketika dia menyatakan hasrat untuk turun ke laut pada Ahad lalu namun, saya sempat berpesan kepadanya supaya menjaga diri kerana ini kali pertama dia turun ke laut bersama rakan-rakannya yang lain," katanya.

Aziam Ezawatie berkata, dia membuat laporan kepada pihak berkuasa setelah anaknya tidak kembali selepas dua hari.

Artikel Berkaitan:

"Dia janji nak pulang selepas dua hari, namun sekarang sudah masuk hari keempat bayangnya masih tiada. Panggilan pun tidak diangkat. Mungkin juga di tengah laut tiada 'line' telefon.

"Saya juga pelik sebab statusnya menerusi WhatsApp pun menunjukkan kali terakhir dia melihat pesanan mudah alih itu jam 3.10 petang pada Isnin lalu," katanya.

Mohamad Zulkarnain merupakan salah seorang daripada enam pemancing yang dilaporkan hilang selepas terputus hubungan sejak Selasa.

Lelaki terbabit menaiki sebuah bot nelayan tempatan kelas A bersama lima lagi kru termasuk tekong yang dikhuatiri hilang di Perairan Kemaman di sini selepas terputus hubungan.

Lima lagi mangsa yang hilang ialah Mohamad Hafizrul Hisyam Zakaria, 29; Muhammad Shamrin Suhaimi, 19; Rosidi Mohamad, 22; Muhammad Hazim Luqman Zakaria, 19, dan Mohamad Shahrul Ainmie Abdullah, 19.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, bot yang dinaiki kesemua pemancing itu dilaporkan keluar ke laut sejak Isnin lalu dan sepatutnya pulang pada Rabu.

ARTKEL BERKAITAN: Enam pemancing dikhuatiri hilang di laut

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!