Majlis Tindakan Sosial Pahang bantu rakyat daftar vaksin Covid-19

Wan Rosdy menyampaikan sijil penghargaan kepada pegawai dan anggota polis sebagai menghargai perkhidmatan cemerlang mereka pada Majlis Memperingati Hari Polis Ke-214 Peringkat Kontinjen Pahang pada Khamis.
Wan Rosdy menyampaikan sijil penghargaan kepada pegawai dan anggota polis sebagai menghargai perkhidmatan cemerlang mereka pada Majlis Memperingati Hari Polis Ke-214 Peringkat Kontinjen Pahang pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan negeri Pahang melalui Majlis Tindakan Sosial Negeri Pahang akan turun padang ke kawasan tumpuan ramai bagi membantu rakyat negeri ini mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, langkah itu membuktikan kerajaan negeri cukup prihatin dan mahu semua rakyat Pahang menerima suntikan vaksin bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

Menurutnya, sebelum ini, kerajaan negeri memperkenalkan Sistem Imunisasi Covid-19 Pahang (SICP) bagi memudahkan pendaftaran suntikan vaksin dalam kalangan rakyat negeri ini.

"Inisiatif itu mendapat sambutan baik daripada rakyat negeri ini apabila ramai yang mengambil peluang mendaftar melalui aplikasi tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Majlis Memperingati Hari Polis Ke-214 Peringkat Kontinjen Pahang di sini pada Khamis.

Hadir sama, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan dan Timbalannya, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri serta Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Mohd Zakaria Ibrahim.

Wan Rosdy berkata, SICP diperkenalkan khusus bagi memudahkan rakyat negeri ini mendaftar untuk menerima vaksin Covid-19.

"Pendaftaran melalui SICP tidak akan menyebabkan pertindihan sekiranya mereka turut mendaftar melalui aplikasi MySejahtera.

Artikel Berkaitan:

"Ia kerana SICP dan MySejahtera saling melengkapi antara satu sama lain dalam memberi kemudahan pendaftaran penerima vaksin," katanya.

Beliau berkata, paling penting semua mereka perlu segera tampil mendaftar sama ada melalui SICP atau MySejahtera.

Menurutnya, seramai 3,923 daripada 5,420 pegawai dan anggota polis kontinjen Pahang sudah menerima suntikan vaksin dos kedua pada fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Peringkat Negeri Pahang.

"Suntikan vaksin untuk semua pegawai dan anggota polis di negeri ini dijangka dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

"Usaha ke arah itu sedang dilakukan pihak Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan negeri turut membuka peluang kepada anggota polis di negeri ini memohon rumah Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) sebagai menghargai peranan mereka sebagai penjawat awam.

"Mereka boleh memohon dan bagi yang layak, mereka bukan sahaja dapat memiliki rumah itu di bawah harga pasaran malah turut diberikan potongan harga 10 peratus," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!