Kilang penyaduran komponen elektronik didenda RM60,000
SEPANG - Sebuah kilang penyaduran komponen elektronik didenda RM60,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan membabitkan kesalahan melepaskan efluen perindustrian mentah melebihi had piawaian ditetapkan.
Selain itu, operasi kilang berkenaan juga didapati gagal menjalankan pemantauan prestasi dan tidak memastikan orang berkelayakan mengendalikan sistem pengolahan efluen perindustrian di sana.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Nor Aziah Jaafar berkata, seorang pengarah syarikat berusia 47 tahun dituduh atas kesalahan berkenaan seperti mana diperuntukkan di bawah Peraturan 11 (1) (b), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009.
"Bagi setiap pertuduhan, jika disabit bersalah boleh dihukum tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dalam pada itu, Nor Aziah berkata, JAS Selangor akan sentiasa mengambil tindakan tegas dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana penjenayah alam sekitar.
Katanya, pihaknya juga berterima kasih atas kerjasama diberikan orang awam yang membantu menyalurkan maklumat berhubung aktiviti pencemaran alam sekitar.
"Saya menyeru orang awam untuk melaporkan sebarang aktiviti yang pencemaran alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam atau e-mel ke aduan_k@doe.gov.my dan portal e-aduan JAS," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!