Pendaftaran pemilih automatik selepas 1 September 2022
PUTRAJAYA - Pendaftaran pemilih automatik dan mengundi pada usia 18 tahun (Undi 18) dijangka boleh dilaksanakan selepas 1 September 2022.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, ia selepas pihaknya menilai semula pelbagai kekangan dan isu yang telah menjejaskan perancangan dan persiapan awal SPR.
"SPR ingin menjelaskan bahawa persiapan ke arah pelaksanaan tersebut masih berjalan dan dalam tindakan sewajarnya," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, SPR bersikap realistik dengan perkembangan dan situasi semasa negara ketika ini yang secara umumnya masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
"Ini secara langsung menjejaskan perancangan dan persiapan SPR. Berdasarkan kepada rekod terkini SPR, jumlah warganegara berumur 18 tahun dan ke atas adalah seramai 5.6 juta orang.
"Daripada jumlah tersebut, individu yang berusia 18 hingga 20 tahun seramai 1.2 juta orang manakala 4.4 juta orang adalah mereka yang berusia 21 tahun dan ke atas, yang mana telah pun layak tetapi masih belum berdaftar sebagai pemilih," katanya.
Abdul Ghani berkata, SPR akan melancarkan sistem semakan prapendaftaran automatik melalui portal SPR pada Ogos 2021 bagi membolehkan 5.6 juta bakal pemilih menyemak dan mengesahkan maklumat mereka.
"SPR juga sedang menyediakan satu laporan interim berhubung Pendaftaran Pemilih Automatik dan Undi 18," katanya.
Tambahnya, rakyat Malaysia yang berusia 21 tahun dan ke atas digesa untuk segera mendaftar sebagai pemilih secara dalam talian melalui mysprdaftar.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri atau Pejabat Pos yang berdekatan.
Pada 25 Julai 2019, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 diluluskan di Dewan Negara dengan majoriti dua pertiga, 10 hari selepas diluluskan di Dewan Rakyat.
Dengan kelulusan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan itu, pilihan raya pada masa hadapan akan menyaksikan pengundi berusia 18 tahun dibenarkan mengundi dan menjadi calon berbanding usia 21 tahun sebelum ini, selain pendaftaran pengundi akan dilakukan secara automatik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!