Kedah tidak gentar amaran Pulau Pinang
YAN - Kerajaan negeri Kedah tidak gentar dengan amaran Pulau Pinang yang berhasrat mengambil tindakan undang-undang bagi menghentikan projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) yang dilaksanakan Kedah sekiranya ia mengancam bekalan air negeri terbabit.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, apa sahaja projek yang berlaku dalam negeri ini tiada kaitan dengan Pulau Pinang dan beliau hanya memenuhi tanggungjawab menjaga Kedah.
Malah katanya, beliau sebelum ini berkali-kali membuka peluang rundingan dengan negeri jiran terbabit bagi membincangkan isu caj air mentah tetapi tidak diendahkan oleh Pulau Pinang.
"Jika dia (Pulau Pinang) mengambil tindakan mahkamah, kita akan pergi mahkamah. Hak dalam negeri Kedah. Tanah, tanah kita, sungai, sungai kita, tebing, tebing kita, projek, projek kita, duit, duit kita depa kacau apa?," katanya ketika ditemui selepas menziarahi rumah mangsa ribut di Kampung Sungai Kering, Sungai Limau Dalam di sini pada Khamis.
Menurutnya, Kedah tidak melancarkan sebarang peperangan dengan Pulau Pinang, sebaliknya jika negeri itu membayar caj air mentah seperti yang dinyatakan, Kedah akan turut menjaga kepentingan negeri terbabit.
"Kalau dia bayar, kita pun akan jaga kepentingan sebagai negeri yang turut menyumbang kepada pengaliran air daripada tadahan kita.
"Saya hormat jiran-jiran saya dan jiran ini juga ada hak-hak dia. Hak dia untuk tumpang kita dan sama-sama tolong kita memulihara kawasan hutan, tadahan dan aliran sungai.
"Tetapi apabila kita ada kepentingan kita sendiri, dia tidak boleh mengganggu negeri kita, itu hak kita dan ikut suka kita la," katanya.
Tambah Muhammad Sanusi, mana- mana kerajaan negeri bertanggungjawab menjaga kebajikan rakyat di negeri terbabit.
"Kalau rakyat Pulau Pinang terjejas bekalan air, mereka perlu salahkan kerajaan Pulau Pinang. Jangan salahkan Kedah kerana Pulau Pinang yang degil tidak mahu membayar caj air mentah. Jadi tanggunglah akibatnya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!