5,471 PATI diusir ke negara asal sejak 1 Januari

Seramai 5,417 PATI telah diusir ke negara asal sejak 1 Januari hingga Rabu lalu. - Foto Bernama
Seramai 5,417 PATI telah diusir ke negara asal sejak 1 Januari hingga Rabu lalu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Imigresen Malaysia sudah mengusir 5,417 pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara asal sejak 1 Januari hingga Rabu lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, dalam tempoh sama sebanyak 1,197 operasi penguatkuasaan telah dilaksanakan dan seramai 26,008 orang diperiksa.

Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai 4,745 PATI dan 56 orang majikan telah ditahan.

"Sepanjang tahun lalu, imigresen telah melaksanakan 6,877 operasi penguatkuasaan.

"Seramai 100,847 orang diperiksa dan 27,671 PATI serta 386 majikan ditahan di mana seramai 37,038 PATI telah diusir ke negara asal pada tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Khairul Dzaimee
Khairul Dzaimee

Beliau berkata, kerajaan juga telah melaksanakan Op Benteng yang menggabungkan kekuatan pelbagai agensi keselamatan dan penguatkuasaan bagi kawalan perairan negara pada Mei tahun lalu.

"Sebagai langkah untuk mengetatkan Op Benteng, ia dilaksanakan di bawah National Task Force (NTF) yang bertanggungjawab menjalankan operasi mengawal sempadan perairan negara daripada dibolosi oleh warga asing yang cuba memasuki negara ini secara haram," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai laporan sebuah akhbar pada Rabu yang melaporkan dasar kerajaan yang tidak jelas menjadikan Malaysia tarikan buat warga asing sama ada memasuki secara haram atau sah, Khairul Dzaimee menegaskan bahawa dasar dan prosedur pengambilan pekerja asing di negara ini adalah jelas.

"Kerajaan telah menetapkan 15 negara sumber bagi pekerja asing iaitu Thailand, Filipina, Kemboja, Myanmar, Laos, Vietnam, Kazakhstan, Nepal, Pakistan, Sri Lanka, Turkmenistan, Uzbekistan, Bangladesh, Indonesia dan India.

"Pekerja asing tidak mahir dari negara sumber itu hanya dibenarkan bekerja di dalam sektor yang dikategorikan sebagai sektor 3D (dangerous (bahaya), dirty (koto) dan difficult (sukar)) seperti di tapak projek pembinaan, ladang-ladang kelapa sawit, pencuci bangunan atau sebagai buruh di gudang dan pasar raya besar," katanya.

Beliau berkata, dasar kerajaan juga menetapkan bahawa pekerja asing tidak layak memohon taraf penduduk tetap.

"Setiap pekerja asing yang telah tamat tempoh pas yang sah perlu pulang ke negara asal.

"Majikan yang tidak mematuhi dasar yang ditetapkan akan dikenakan tindakan penguatkuasaan di bawah Akta dan Peraturan-peraturan Imigresen. Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda dan dipenjarakan," katanya

Katanya, seramai 1.4 juta pekerja asing di negara ini yang memegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) aktif sehingga 31 Disember 2020.

"Setiap majikan perlu memperbaharui PLKS pekerja asing mereka setiap tahun dan membayar levi mengikut sektor pekerjaan.

"Tempoh PLKS telah ditetapkan selama 10 tahun dan majikan diberi pilihan untuk menyambung selama tiga tahun lagi dengan kadar levi yang lebih tinggi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!