'Ini pengalaman pertama saya berdepan insiden bunuh diri'
BENTONG - "Saya tidak fikir apa-apa ketika itu kecuali untuk selamatkan remaja terbabit," kata Ketua Balai Bukit Tinggi, Sarjan Mejar Maznan Omar, 57.
Tindakan pantas Maznan berjaya menyelamatkan gadis berusia 16 tahun yang didakwa cuba membunuh diri di Kilometer (KM) 46 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak Berjaya Hills Bukit Tinggi pada Selasa.
Maznan berkata, tanggungjawab sebagai anggota polis menjadi keutamaan buat dirinya ketika detik mencemaskan tersebut berlaku.
Menceritakan semula kejadian itu, Maznan berkata, beliau menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 2.15 petang ketika selesai makan tengah hari di rumahnya.
"Sebaik tiba di tempat kejadian bersama anggota, keadaan jalan sudah sesak kerana pengguna jalan raya berhenti merakam kejadian.
"Saya nampak remaja itu sedang merangkak atas pembahagi jalan ketika sampai di lokasi," katanya pada Sinar Harian pada Khamis.
Maznan berkata, beliau berbual-bual dan memujuk remaja itu, namun gadis tersebut hanya berdiam diri dan pujukan mengambil masa kira-kira setengah jam sebelum mendapat maklumat kehadiran pihak bomba ke tempat kejadian.
"Keadaan memang panas terik ketika itu dan selepas sahaja anggota bomba tiba, saya pun cakap tidak mahu bersembang lagi dan mahu balik.
"Selepas itu saya pun terus bertindak pantas dan segera menangkapnya dari belakang," katanya.
Dalam pada itu, beliau mengakui berasa sakit ketika remaja itu jatuh pada badannya kerana kaki kiri ada besi akibat kemalangan, namun ketika itu rasa sakit diketepikan.
Ditanya keadaan remaja itu selepas berjaya diselamatkan, Maznan memberitahu remaja tersebut terus pengsan dan ditenangkan oleh Exco Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman yang kebetulan berada di tempat kejadian yang turut memberikan air kepada mangsa.
Anak jati Kelantan kelahiran Machang itu juga mengakui ia adalah pengalaman pertama kali berdepan insiden tersebut sepanjang 35 tahun bertugas sebagai anggota polis.
"Memang saya tidak akan lupakan pengalaman ini dan ia juga menjadi pengajaran supaya anak-anak yang ada masalah supaya tidak pendam dan berkongsi dengan keluarga.
"Ibu bapa juga perlu peka dengan sebarang perubahan yang dialami anak-anak mereka," kata bapa kepada empat cahaya mata berusia 29 hingga 16 tahun.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai komen-komen positif netizen di laman sosial terhadap tindakannya, Maznan menganggap ia satu tanggungjawab yang perlu dipikul selaku anggota polis.
"Memang ada baca juga komen nakal netizen, antaranya bersiap sedia dengan isteri, Aminah Ahmad, 55, tetapi beliau sudah memahami situasi dan tugas saya," jelasnya yang baru setahun lebih bertugas di Balai Polis Bukit Tinggi.
ARTIKEL BERKAITAN: Polis halang gadis cuba terjun jejambat
Tekanan punca remaja cuba bunuh diri
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!