Jururawat di Singapura mungkin dibenar bertudung
SINGAPURA - Kerajaan Singapura sedang meneliti untuk membenarkan jururawat beragama Islam di republik itu untuk memakai tudung.
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri merangkap Menteri Undang-Undang, K Shanmugam berkata, perkara itu sedang dibincangkan di peringkat atasan dan besar kemungkinan pendirian kerajaan berhubung isu pemakaian tudung akan berubah.
Beliau berkata, perkembangan itu sudah dimaklumkan kepada kumpulan guru agama dan pendakwah Islam (Asatizah) dalam satu sesi tertutup sebelum ini.
"Saya beritahu secara terus terang bahawa kerajaan mengakui ada sebab yang baik mengapa jururawat harus dibenarkan memakai tudung jika mereka memilih untuk berbuat demikian.
"Perkara ini sedang dibincangkan dan setelah itu pandangan kerajaan mungkin berubah," katanya.
Menurut Shanmugam lagi, isu terbabit dibangkitkan kira-kira enam bulan lalu.
"Perdana Menteri, Lee Hsien Loong akan menemui pemimpin masyarakat Islam untuk membincangkan isu berkenaan dan kerajaan juga telah mendapatkan pandangan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).
"Setelah perbincangan selesai, kerajaan akan mengumumkan keputusannya," ujar Shanmugam sambil menjelaskan perbincangan berhubung isu itu dijangka mengambil masa beberapa bulan lagi. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!