Terengganu pinda Enakmen Penyu

Gambar hiasan. - Foto Bernama
Gambar hiasan. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Negeri akan meminda Enakmen Penyu Terengganu 1951 (Pindaan 1987) dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada November ini, bagi mengharamkan penjualan semua jenis telur penyu di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu Dr Azman Ibrahim berkata, ini kerana enakmen semasa dengan pindaan terakhir pada tahun 1987 dilihat sudah tidak relevan, dan orang ramai tidak takut kerana hukumannya terlalu rendah dengan kadar denda pula terlalu sedikit.

Beliau berkata, enakmen itu hanya menghalang penjualan telur penyu belimbing sahaja sedangkan penyu belimbing sudah terlalu lama tidak mendarat di Terengganu.

“Kali terakhir pendaratan dikesan pada 2017 di dua lokasi di Dungun iaitu di Kuala Abang dan Rantau Abang," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemuliharaan penyu di Pantai Mak Kepit di Pulau Redang hari ini.

Menurutnya ketika ini hanya Terengganu satu-satunya negeri di Malaysia yang masih membenarkan penjualan telur penyu (spesis penyu agar, penyu karah dan penyu lipas) secara terbuka.

Azman berkata, hasrat kerajaan negeri untuk mengharamkan penjualan semua jenis telur penyu melalui pindaan enakmen itu sehingga kini mendapat maklum balas yang sangat positif dari pelbagai pihak.

"Badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dengan konservasi penyu dan alam sekitar serta Institusi Pengajian Tinggi antara yang menyambut baik cadangan ini.

"Pada masa sama kita berharap orang ramai ambil maklum perkara ini terutama peniaga di Pasar Besar Kedai Payang yang masih menjual telur penyu agar menghentikan aktiviti itu secara berperingkat sebelum pengharamannya dikuatkuasakan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan negeri juga meningkatkan jumlah peruntukan kepada usaha pemuliharaan penyu dengan menyalurkan sebanyak RM300,000 pada tahun ini berbanding RM180,000 pada tahun lepas sebagai tanda keprihatinan terhadap usaha itu. -Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!